KUANTAN: Tindakan seorang guru tahfiz wanita mencucuh api dan mengugut untuk memotong kemaluan seorang kanak-kanak lelaki membawa padah apabila dia dan seorang lagi guru lelaki ditahan polis malam Jumaat. Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali berkata, kedua-duanya yang berusia 43 dan 42 tahun serta dipanggil ‘bonda' dan ‘walid' tersebut ditahan 10 malam Jumaat di Kampung Selamat di sini, selepas polis menerima laporan daripada bapa kanak-kanak berusia lapan tahun berkenaan. Pengadu yang berusia 25 tahun itu hanya menyedari anaknya diperlakukan sedemikian selepas menonton satu klip video yang tular menerusi aplikasi WhatsApp petang Sabtu, katanya ketika dihubungi di sini, Ahad. Menurut Mohd Noor, klip video berdurasi satu minit 19 saat itu memaparkan guru tersebut menarik kemaluan anak pengadu sebelum diancam untuk dipotong dengan sebilah gunting pemotong rumput serta dicucuh pemetik api. Malah, dua lagi klip video masing-masing berdurasi 25 saat dan 56 saat, turut memaparkan mangsa dipukul dengan rotan oleh guru wanita dan lelaki tersebut kerana didakwa mencuri makanan. "Bapa mangsa telah dihubungi suspek yang menerangkan tindakan dilakukan adalah satu proses pembelajaran kerana mendakwa mangsa melakukan kesalahan kencing berdiri, mencuri barang kawan mangsa dan tidak mencuci selepas buang air besar," katanya. Mohd Noor berkata, pengadu yang berang dan kesal dengan tindakan kedua-dua guru tahfiz berkenaan bertindak membuat laporan polis. Katanya, difahamkan mangsa sebelum itu bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bukit Rangin namun telah dihantar ke sekolah tahfiz berkenaan oleh bapanya setelah didapati kurang menunjukkan minat terhadap pelajaran. "Mangsa yang mengadu sakit di bahagian punggung telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan bagi tujuan pemeriksaan dan kes kini disiasat menurut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya. - Bernama