suria

Guan Eng, Phang bebas pertuduhan rasuah

GEORGE TOWN: Menteri Kewangan Lim Guan Eng, yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, dan ahli perniagaan Phang Li Koon dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini Isnin atas pertuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah banglo di bawah nilai pasaran.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail melepaskan dan membebaskan Lim, 58, dan Phang, 46, berikutan permohonan peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Lim, dan Datuk V.Sithambaram serta Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Phang, supaya anak guam mereka dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan itu.

Hadhariah berkata beliau tidak bersetuju dengan permohonan pihak pendakwaan supaya pertuduhan itu ditarik balik dan kedua-dua tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA).

“Pertuduhan tidak boleh dibiarkan tergantung terhadap tertuduh selama tempoh yang tidak terbatas. Perlu ada penamat dalam kes ini. Saya tidak dapat bersetuju dengan pihak pendakwaan. kami tidak mengendalikan kes secara bersiri. Mesti ada noktah, tiada koma, koma, terutamanya dalam kes jenayah.

“Setelah mengkaji keseluruhan kes dan masa yang begitu lama untuk mendapatkan keputusan, oleh itu saya perintahkan kedua-dua tertuduh dilepaskan dan dibebaskan,” katanya.

Sebelum beliau menyampaikan keputusan, Hadhariah berkata setakat ini, pihak pendakwaan telah memanggil 25 saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes berkenaan pada Mac lepas dan kini dalam bulan September, pihak pendakwaan memohon supaya kes itu DNAA.

“Selepas enam bulan nanti mungkin pendakwaan akan memanggil saksi lain. Tidak wujud perkara seperti ini terutamanya dalam kes berkepentingan awam. Jika pendakwaan mohon untuk DNAA, mahkamah juga tidak boleh tutup kes,” katanya.

Sebaik sahaja mahkamah menyampaikan keputusannya, Lim dan Phang dilihat saling berpelukan di dalam kandang tertuduh.

Mahkamah penuh sesak dengan penyokong Lim dan anggota keluarga Phang.

Pada awal prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd Daud memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak mahu meneruskan pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh mengikut Seksyen 254 (3) Kanun Tatacara Jenayah.

“Pihak pendakwaan telah menerima representasi oleh kedua-dua tertuduh dan selepas meneliti, pendakwaan menarik balik pertuduhan berdasarkan tuntutan undang-undang di bawah Seksyen 254 yang mana peruntukan ini berjumlah kepada pembebasan tanpa dilepaskan,” katanya.

DNAA bermakna, pihak pendakwaan boleh meneruskan pertuduhan yang sama terhadap tertuduh.

Ramkarpal berhujah pihak pendakwaan tidak boleh menamatkan kes itu hari ini dan meneruskannya di kemudian hari oleh sebab kes itu perlu ada penamatnya.

Beliau berkata pihak pendakwaan tidak mahu meneruskan kes berkenaan dan perintah sewajarnya yang perlu dikeluarkan oleh mahkamah adalah untuk anak guamnya dibebaskan sepenuhnya.

“Apabila pendakwaan tidak mahu meneruskan kes ini, perintah yang sewajarnya adalah untuk tertuduh dibebaskan dan bukan DNAA,” katanya.

Sithambaram juga berkata mahkamah tidak boleh mendakwa tertuduh secara bersiri dan perlu ada penamat dalam kes itu.

“Hari ini pendakwaan memohon bagi DNAA dan dua atau tiga bulan kemudian pendakwaan boleh mengemukakan (semula) pertuduhan terhadap tertuduh dan ini akan menjadi mimpi ngeri kepada tertuduh,” katanya, dan mempersoalkan permohonan pendakwaan bagi DNAA oleh sebab mereka tidak mahu meneruskan kes itu.

Pada 30 Julai, Hadhariah menetapkan 3 Sept sebagai tarikh akhir bagi Jabatan Peguam Negara untuk memaklumkan kepada mahkamah keputusan representasi oleh Lim dan Phang selepas pendakwaan memaklumkan mereka memerlukan masa sebulan untuk membuat keputusan berhubung perkara itu.

Pada 9 April, perbicaraan kes itu ditangguhkan oleh sebab Lim perlu membuat persediaan bagi Pilihan Raya Umum ke-14, sungguhpun pendakwaan membantah penangguhan itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 Mei untuk pengurusan kes.

Bagaimanapun, pada 21 Mei, selepas Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum, peguam bagi Lim dan Phang memberitahu mahkamah mereka akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menggugurkan pertuduhan terhadap anak guam mereka.

Setakat ini, perbicaraan kes itu hanya mengambil masa dua hari iaitu pada 26 dan 27 Mac, setelah pendakwaan memohon penangguhan kerana Lim dan peguam beliau ketika itu, Gobind Singh Deo, yang kini Menteri Komunikasi dan Multimedia, perlu menghadiri pembentangan usul berkaitan persempadanan semula kawasan pilihan raya selain Rang Undang-undang Anti Berita Tidak Benar 2018.

Sehingga kini, pendakwaan telah memanggil 25 saksi, dan dijangka memanggil 29 orang lagi.

Bagi pertuduhan pertama, Lim didakwa menggunakan kedudukannya sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk suapan bagi dirinya dan isteri Betty Chew Gek Cheng, meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang kepada sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Beliau didakwa melakukan kesalahan tersebut ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan Komtar, George Town di sini pada 18 Julai 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda hingga lima kali jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Lim juga menghadapi pertuduhan kedua iaitu menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan bagi dirinya satu lot tanah dan sebuah banglo di No 25, Jalan Pinhorn, George Town pada 28 Julai, 2015 daripada Phang pada harga RM2.8 juta, harga yang beliau dakwa beliau tahu tidak sepadan dengan nilai pasaran hartanah berkenaan ketika itu iaitu RM4.27 juta.

Pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Phang pula didakwa bersubahat dengan Lim dalam mendapatkan banglo berkenaan pada harga bawah nilai sebenar.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat dan pada tarikh sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama-sama Seksyen 165, memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Lim Guan Eng, banglo

Artikel Lain