PETALING JAYA: Kisah seorang pengkid jelita yang tular di laman Twitter baru-baru ini ternyata menyentuh hati netizen yang gembira dengan penghijrahan positifnya itu. Namun, timbul pula cakap-cakap kurang enak daripada sesetengah pihak yang mempertikaikan tentang dirinya sehingga wanita itu terpaksa membuat permohonan maaf secara terbuka di laman sosial miliknya. ARTIKEL BERKAITAN: “Menyesal jadi pengkid dulu, buang masa…” - Pengakuan jujur ‘tomboi jelita’ "Dengan ini, saya sebagai "pengkid yang berubah" ingin memohon maaf secara langsung atau tidak langsung buat siapa-siapa sahaja yang terasa tentang isu perubahan saya. "Saya tak pernah judge (hakimi), saya menyesal bagi pihak saya sendiri. Hang (kau) nak jadi pengkid, teruskan. Tapi untuk aku, cukup sampai sini," tulisnya di laman Twitter pada Isnin. Mengulas mengenai permohonan maaf berkenaan, Atyn Junaidi, 26, mengakui terdapat sebilangan golongan pengkid dan tomboi yang tersinggung dengan perkongsiannya tempoh hari. Jelasnya lagi, posting tular tersebut bukanlah berniat untuk memalukan golongan berkenaan, namun ia lebih kepada perkongsian mengenai perjalanan dan kisah hidup dirinya sahaja. "Sesetengah daripada mereka fikir saya hina golongan tersebut padahal saya sendiri pernah berada di zaman itu. "Ramai juga yang cakap tak perlu minta maaf, tapi saya nak selesaikan isu ini, sebab apa yang jadi itu adalah diri saya, bukannya mengkritik pengkid lain," ujarnya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin. Paparan skrin permohonan maaf Atyn yang dimuat naik ke laman Twitter. Foto transformasi Atyn yang dimuat naik di laman Twitter sebelum ini menerima lebih 20,000 ulang kicau (Retweet). Posting tersebut menunjukkan sekeping foto dirinya berambut pendek dan berpakaian lelaki dengan sekeping lagi foto memaparkan dirinya dalam busana perkahwinan berona putih. Menerusi laporan mStar Online pada Rabu lalu, Atyn berkata idea untuk membuat perkongsian tersebut timbul sewaktu membelek gambar lamanya yang jauh berbeza dengan dirinya sekarang. Malah, dia yang mula menjadi tomboi dan pengkid seawal usia 15 tahun juga sudah mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihannya baru-baru ini. Dia juga tidak menyangka tweet tersebut akan tular dan menerima maklum balas positif apabila rata-rata netizen memuji penghijrahannya dan mendoakan agar dia istiqamah dalam keputusannya itu. Dalam pada itu, Atyn juga menolak dakwaan sesetengah netizen di laman sosial yang menuduh dia sekadar mereka cerita kerana hanya memuat naik sekeping sahaja gambar sewaktu dia masih berperwatakan lelaki. "Lain orang lain fahamnya, sebab ada antara mereka yang tak pernah lalui pengalaman macam saya. "Tanya la mana-mana pengkid, macam mana susah nak berubah, nak terima kecaman orang semua, rasa kecewa sebab orang salah faham. "Ada orang cakap saya reka cerita, suami gelak sahaja sebab dia tahu saya dan tak ambil serius pun mengenai kisah lampau saya," jelasnya lagi.