GEORGE TOWN: The Moscow Circus Tour of Malaysia melahirkan keyakinan dapat mencapai sasaran menderma RM1 juta kepada Tabung Harapan Malaysia hasil jualan tiket sepanjang lapan bulan persembahannya. Penerbit sarkas tersebut Kenneth Lee berkata sarkas yang menampilkan persembahan aerobatik dan sarkas bertaraf dunia itu setakat ini telah mencapai 10 peratus dari sasasran hanya dari jualan tiket di Putrajaya. Bercakap pada sidang akhbar di Komtar di sini, Selasa, beliau berkata Moscow Circus pernah membuat persembahan di Stadium Negara, Kuala Lumpur pada 1965. Mendiang bapa Lee adalah pengasas Royal London Circus. Sementara itu, Moscow Circus akan membuat persembahan di Queensbay Mall carpark, di sini pada 13 hingga 30 September, dan di Auto City, Perai pada 6 hingga 21 Oktober. Sejumlah 40 ahli sarkas bertaraf dunia akan menampilkan persembahan dalam salah satu khemah berhawa dingin dan terbesar di Malaysia. Selain Petaling Jaya dan Pulau Pinang, sarkas itu akan turut mengadakan persembahan di Melaka, Kuala Lumpur, Johor Bahru, Batu Pahat, Ipoh, Kuantan dan Klang dalam ruang masa lapan bulan. Tiket-tiket kini dijual pada harga dari RM50 hingga RM280, dan boleh dibeli di kaunter tiket berhampiran Queensbay Mall Starbucks atau secara online di themoscowcircus.com.my.-- Bernama