suria

2,801 pengundi awal PRK Balakong, Seri Setia mula mengundi seawal 8 pagi

KUALA LUMPUR: Seramai 2,801 pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dan Seri Setia mula mengundi mulai 8 pagi Selasa.

Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), 31 daripadanya adalah pengundi awal bagi DUN Balakong manakala 2,770 lagi adalah bagi kawasan DUN Seri Setia.

Kesemua pengundi awal di DUN Balakong adalah anggota polis dan mereka akan mengundi di Ruang Legar Kuarters Balai Polis Seri Kembangan. 

Pusat pengundian awal itu dibuka 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Sementara itu di PRK Seri Setia, 2,770 pengundi awal yang terlibat merangkumi  2,597 anggota tentera serta pasangan mereka dan 173 anggota polis.  

Proses pengundian awal bagi anggota tentera serta pasangan akan diadakan di Dewan Serbaguna Ababil, Pangkalan Udara Subang manakala anggota polis pula akan menunaikan tanggungjawab mereka  di Kompleks SMS Polis Diraja Malaysia, Shah Alam.

Pusat pengundian awal di PRK Seri Setia dibuka mulai 8 pagi hingga 5 petang.  

Selepas proses pengundian awal selesai, kertas-kertas undi akan disimpan di lokap balai polis dan hanya akan dikira secara berkelompok di pusat pengiraan undi masing-masing pada malam 8 September nanti.  

PRK Balakong dan PRK Seri Setia masing-masing menyaksikan pertandingan satu lawan satu dengan calon Pakatan Harapan (PH), Wong Siew Ki berdepan calon MCA, Tan Chee Teong di Balakong manakala calon PH, Halimey Abu Bakar akan bertembung dengan calon PAS, Dr Halimah Ali di PRK Seri Setia.

PRK DUN Balakong diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chee dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai lepas manakala PRK DUN Seri Setia susulan kematian penyandangnya Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos akibat kanser usus.

Kedua-dua kawasan itu sebelum ini masing-masing dimenangi Ng daripada DAP (Balakong) dan Dr Shaharuddin daripada PKR (Seri Setia).

DUN Balakong dan DUN Seri Setia masing-masing mempunyai keseluruhan 62,219 dan 52,650 pengundi berdaftar yang layak mengundi pada PRK Sabtu ini. - Bernama

Balakon, Seri Setia, SPR

Artikel Lain