suria

Ular sawa 150kg gemparkan penduduk Pekan

PEKAN: Penduduk di Taman Pelangkah di sini gempar dengan kehadiran seekor ular sawa batik seberat 150 kilogram di sebuah bengkel berhampiran perumahan itu pada Selasa.

Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Pekan Leftenan Muda Siti Noor Atikah Rasid berkata ular yang bersembunyi di bawah sebuah kereta tersadai, dijumpai pada pukul 4 petang oleh seorang wanita yang melalui kawasan itu.

"Kami mengambil masa selama setengah jam untuk menangkap ular sawa yang dianggarkan sepanjang tujuh meter itu kerana perlu mengalihkan sedikit kedudukan kereta terlebih dahulu.

"Ular berkenaan juga bertindak agresif dengan cuba menyerang anggota yang terlibat mungkin kerana berasa terancam," katanya.

Siti Noor Atikah menambah seramai lapan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian dan ular itu dimasukkan ke dalam sangkar sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya.

"Ular sawa itu merupakan yang paling besar dan panjang pernah kami tangkap setakat tahun ini," katanya. - BERNAMA

ular sawa, Pekan

Artikel Berikut

Artikel Lain