SHAH ALAM: Sidang Dun Selangor meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 (Pindaan) 2018 menyelaraskan had umur minima perkahwinan orang Islam perempuan daripada 16 ke 18 tahun di Selangor. Speaker Dun Selangor, Ng Suee Lim mengumumkan kelulusan RUU itu selepas disokong sebulat suara anggota Dun.Menteri Besar, Amirudin Shari ketika membentangkan usul itu berkata, terdapat keperluan memperkemaskan permohonan umur pasangan dengan pindaan dan memasukkan peruntukan supaya tidak bercanggah dengan hukum syarak dan memelihara kebajikan wanita. "Dalam permohonan pernikahan di Mahkamah Syariah hanya salah seorang ibu atau bapa atau penjaga diperlukan untuk memulakan proses bagi membolehkan permohonan difailkan walaupun tidak mendapat kerjasama permohonan daripada keluarga. "Notis permohonan di Mahkamah Syariah itu hendaklah disertakan bersama dengan afidavit sokongan oleh penjaga dengan menyatakan alasan, kemampuan dari kesihatan dan memberikan nafkah dan juga pernyataan sama ada dirinya pernah disabit kesalahan jenayah atau tak," katanya. Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas perbincangan secara mendalam mengenai pernikahan bawah umur antara agensi kerajaan termasuk Jabatan Kehakiman, Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Jabatan Mufti, para akademik dan badan bukan kerajaan bagi kaedah penyelesaian masalah itu. "Selangor menerima permohonan sebanyak 416 perkahwinan bawah umur antara 2013 sehingga Jun 2018 dan daripada jumlah itu hanya 355 permohonan dibenarkan Mahkamah Syariah Selangor," katanya. Terdahulu, pindaan had umur perkahwinan mula mendapat perhatian susulan pernikahan melibatkan seorang kanak-kanak perempuan Thailand berusia 11 tahun dengan pasangan warganegara ini berumur 41 tahun.- Sinar Harian