PETALING JAYA: Penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai (KIX) dari Malaysia dibatalkan ekoran Taufan Jebi yang melanda barat Jepun dan mengorbankan sekurang-kurangnya enam orang. Menurut Reuters, Jebi atau 'telan' dalam bahasa Korea merupakan taufan paling kuat yang melanda Jepun dalam tempoh 25 tahun. Penasihat perjalanan di laman web Malaysia Airlines berkata, gangguan penerbangan selanjutnya dijangka antara 4 dan 9 September bagi semua penerbangan masuk dan keluar dari Osaka. Malaysia Airlines berkata, penerbangan MH052 dari Kuala Lumpur ke Osaka pada 4 September telah dibatalkan kerana hujan lebat dan banjir kilat yang memaksa penutupan KIX. Malaysian Airlines menambah bahawa penumpang yang terjejas oleh pembatalan penerbangan mempunyai pilihan sama ada menukar perjalanan mereka ke Narita, menangguhkan tarikh perjalanan mereka atau meminta bayaran balik penuh. Sementara itu, AirAsia pada laman webnya menyenaraikan 11 penerbangan yang dibatalkan antara 3 hingga 6 September. Sebahagian kawasan KIX ditenggelami air akibat Taufan Jebi. - AP Penerbangan tersebut termasuk penerbangan menuju ke KIX, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Antarabangsa Honolulu (Hawaii) dan Lapangan Terbang Don Mueang (Thailand). AirAsia berkata, penumpang yang terjejas di laluan tersebut akan diberitahu tentang status penerbangan mereka melalui e-mel dan khidmat pesanan ringkas. Syarikat penerbangan tersebut menambah, penumpang yang mempunyai tempahan untuk pergi ke dan dari Osaka mulai 7 September boleh memilih untuk menukar tarikh penerbangan mereka, bertukar ke lapangan terbang lain di Jepun (Tokyo atau Sapporo), menyimpan nilai tempahan mereka dalam akaun kesetiaan AirAsia BIG atau mendapatkan bayaran balik penuh. "Kami akan terus memantau keadaan dengan teliti dan memastikan para penumpang diberitahu tentang perkembangan terkini," katanya. Penumpang penerbangan AirAsia boleh menghubungi mereka melalui Live Chat, Twitter: @AirAsiaSupport (24 jam), Facebook: @AirAsiaSupport (24 jam) atau pusat panggilan syarikat itu. Mereka yang menempah dengan Malaysia Airlines boleh menghubungi syarikat itu di talian 1 300 88 3000 (di Malaysia) dan +603 7843 3000 (di luar Malaysia) atau melalui platform media sosial mereka, Facebook dan Twitter. Pada Selasa (4 September), Taufan Jebi menjejaskan beratus-ratus penerbangan ke Osaka kerana menyebabkan tenaga elektrik terputus, kereta terbalik dan mengorbankan sekurang-kurangnya enam orang. Nasihat tentang pemindahan penduduk telah dikeluarkan kepada lebih dari sejuta orang. - The Star