suria

Musa Aman dikejarkan ke IJN

Kenderaan Toyota Vellfire yang dinaiki Musa Aman diserbu media semasa keluar dari ibu pejabat SPRM bagi memberi keterangan berhubung dakwaan rasuah pada PRU14, Mei lalu. - fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman dikejarkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana masalah kesihatan pada 6.30 petang Khamis.

Menurut sumber, Musa yang hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, bagi memberi keterangan berhubung kes rasuah, terpaksa menghentikan sesi soal siasat lebih awal.

Sumber itu berkata Musa dibawa ke Hospital Putrajaya terlebih dahulu bagi mendapatkan rawatan sebelum dikejarkan ke IJN.

“Pasukan siasatan SPRM belum selesai mengambil keterangan daripada Musa kerana beliau menghadapi masalah kesihatan,” katanya.

Musa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Sibuga dipanggil ke ibu pejabat SPRM, dipercayai bagi memberi keterangan berhubung dakwaan rasuah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Beliau yang diiringi peguamnya tiba pada 11.45 pagi menaiki dua kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire berwarna hitam serta perak, dan dilihat meninggalkan bangunan SPRM berkenaan pada 2.10 petang Khamis. - BERNAMA

Musa Aman, IJN

Artikel Sebelum

Bekalan elektrik pulih di JB

Artikel Berikut

Artikel Lain