suria

Kereta lama pandu ke warung, yang baharu bawa jalan-jalan

PETALING JAYA: Biarpun sudah dapat 'gading bertuah', namun Mohd Tawil Hassan Raji tidak pernah melupakan 'tanduk' yang terlalu banyak berjasa bukan sahaja buat dirinya, malahan seisi keluarga.

Bapa kepada sembilan anak yang tular di media sosial selepas dihadiahkan kereta baharu oleh anak-anaknya itu berkata, dia tidak mungkin dapat melupakan kenangan dengan kereta lamanya biarpun cinta pertamanya itu pernah menyebabkan dia beberapa kali tersadai di tepi jalan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kesian abah selalu tersadai, 9 beradik 'tipu sunat' beli kereta baharu

"Kereta lama masih digunakan cuma kejap-kejap mati (rosak). Saya gunakan untuk angkat barang berniaga di warung, tapi tak boleh jalan jauh sebab cukai jalan tamat tempoh.

"Kenangan dengan kereta lama tu memang macam-macam. Saya pernah guna untuk angkat kelapa sawit, berniaga dan bawa anak jalan-jalan," katanya datuk berusia 66 tahun itu ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Mohd Tawil tidak dapat menggambarkan rasa syukurnya selepas menerima Perodua Axia daripada anak-anak kerana menganggap ia hadiah yang begitu bernilai.

Mohd Tawil membaiki kereta Proton Iswara lamanya yang sudah uzur.

Katanya, dia berasa gembira dan terkejut setelah diberitahu bahawa kereta itu adalah miliknya sewaktu anak-anaknya membawa dia dan isteri Waginah Wagiman, 62, ke satu kawasan tempat letak kereta pada Ahad lalu.

"Kereta baharu ni saya bawa untuk jalan-jalan. Sudah tidak takut kereta rosak tepi jalan sebab masih baru.

"Saya bersyukur apabila sembilan anak saya berjanji untul bayarkan ansuran kereta ini sampai habis, termasuk cukai jalan.

"Anak kata saya dah tua, bila lagi nak merasa hidup senang," ujarnya.

Sementara itu, Waginah pula berkata, dia tidak berkecil hati dengan anak-anaknya yang terpaksa menipu dengan mengatakan wang yang dikumpul bagi membeli tiket kapal terbang untuknya.

"Saya tak kecewa pun tak dapat tiket kapal terbang. Rupa-rupanya anak-anak nak belikan kereta untuk bapa mereka.

"Satu-satulah dulu, sebab sekarang mereka pun baru ambil kereta ni," katanya yang berhasrat untuk menunaikan ibadah haji satu hari nanti.

Mohd Tawil dan Waginah berdiri di hadapan Perodua Axia yang dihadiahkan oleh anak-anak mereka.

Tambah Waginah, dia turut terharu apabila ada pihak yang menjadikan anak-anaknya sebagai contoh untuk menghargai jasa ibu bapa.

Pada Khamis, mStar Online melaporkan, kepayahan seorang bapa menyara sembilan anaknya dengan hanya gaji sebanyak RM600 sebulan ketika bekerja sebagai tukang kebun sekolah bagaikan berbaloi apabila mendapat hadiah yang tidak disangka-sangka.

Bukan nilai hadiah yang menjadi ukuran, tetapi kesungguhan sembilan anaknya membuat kejutan untuk bapa mereka telah berjaya menyentuh emosi netizen.

Anak keempat pasangan tersebut, Misyani berkata mereka adik-beradik juga terpaksa menipu ibunya gara-gara mahu menyembunyikan kejutan tersebut daripada diketahui bapanya.

Semua itu terpaksa dilakukan selepas usaha mereka merahsiakan kejutan tersebut hampir dihidu oleh Waginah.

balas jasa, kereta

Artikel Lain