PETALING JAYA: Tampil dengan persalinan perkahwinan yang berciri feminin menyebabkan pengantin lelaki ‘Hello Kitty’ ini dituduh sebagai lelaki lembut dalam kalangan netizen. Pengantin lelaki itu juga didakwa sengaja 'cover line' atau cuba menyembunyikan naluri sendiri melalui ikatan perkahwinan. Namun, lemparan kata-kata kesat terhadap lelaki berusia 27 tahun itu sedikit pun tidak menyinggung perasaannya. Sebaliknya, Ismail Isahak, menjemput beberapa pengguna media sosial yang begitu lantang membuat tuduhan terhadapnya untuk hadir memeriahkan majlis bertandang pihak lelaki yang diadakan di Pasir Gudang, Johor pada Sabtu lalu. "Dalam ramai-ramai tu, ada seorang yang datang. Bila dia jumpa saya depan-depan, dia kata saya bukannya lembut tapi gila-gila. "Saya jemput mereka untuk lihat sendiri personaliti saya. Tak sangka ada yang datang betul-betul," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin. Ismail dan Sakirah bergambar dalam persalinan Mickey Mouse di bengkel miliknya. Kali ini, Ismail 'buat hal' lagi apabila dia menggayakan busana pengantin bertemakan karakter 'Mickey Mouse' pada hari persandingannya itu. Menurut Ismail, persalinan Mickey Mouse itu hampir mustahil disiapkan kerana kain yang ditempahnya tiba lima hari sebelum majlis bertandang tersebut berlangsung. "Isteri saya bising sebab saya masih nak pakai baju pengantin bermotifkan kartun. "Bukan sebab dia tidak suka, tapi kerana ia mungkin tidak sempat disiapkan," jelasnya yang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Industri dari Universiti Teknologi Mara, Shah Alam. Impian Ismail untuk menyarung busana Mickey Mouse itu hampir gagal menjadi kenyataan kerana hanya pakaian pengantin lelaki yang berjaya disiapkan. Ismail dalam persalinan pengantin yang bertemakan 'Hello Kitty'. - Cahaya Pictures Studio Namun, isterinya Sakirah Md Zain berpakat dengan adik iparnya untuk membuat kejutan pada saat akhir apabila busana pengantin perempuan akhirnya disiapkan juga. Sejak kisah pasangan tersebut menggayakan pakaian pengantin ‘Hello Kitty’ tular di media sosial, Sakirah yang memiliki butik pengantinnya sendiri, Eira Zain Bridal mula menerima tempahan untuk menggunakan tema serupa. Menurut Ismail, mereka berganding bahu menyediakan tempahan pakaian pengantin dan pelamin berkonsep kartun kepada pelanggan yang berminat. Sebelum ini, pasangan mempelai tersebut tular setelah menggayakan persalinan serba merah jambu dengan gambar Hello Kitty lengkap dengan tanjak dan samping pada pertengahan bulan lalu. Ismail dan Sakirah berkenalan di sebuah majlis perkahwinan pada Disember 2016 dan kemudian diijab kabulkan di kediaman pengantin perempuan di Ulu Tiram, Johor pada 18 Ogos lalu.