BANDAR BAHARU: Dua remaja maut tertimbus akibat jambatan runtuh di Jalan Taman Seri Serdang, Isnin malam. Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, Muhammad Haikal Hakimi Mohd Noor,17 dan Mohamad Haziq Ishak, 17, dipercayai menaiki satu motosikal bersama dan ingin ke rumah rakan di Taman Seri Serdang. Bagaimanapun ketika dalam perjalanan, kedua mangsa tidak menyedari jambatan tersebut telah runtuh. Kedua mangsa telah terjatuh ke dalam Sungai Serdang dan tertimbus tanah sedalam kira-kira 0.3 meter. Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, Deputi Superintendan Barudin Wariso berkata operasi mencari dan menyelamat telah dijalankan kira-kira dua jam. Menurutnya, pihak polis dan bomba telah menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian terbabit kira-kira pukul 10.07 malam. "Ketika di lokasi kejadian pasukan keselamatan telah menemui motosikal dan topi keledar dalam timbunan tanah sebelum menemui mayat kedua mangsa. "Mayat pertama berjaya dibawa keluar pada pukul 12.15 pagi dan mayat kedua pada pukul 12.20 pagi. "Mayat dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat," katanya. Operasi menyelamat mangsa yang dilakukan anggota bomba. Sementara itu, Ketua Balai Bomba Serdang, Mohd Faiz Helmi berkata, bomba menggunakan tukul dalam operasi mencari dan menyelamat kedua-dua mangsa. "Mangsa tertimbus lebih kurang 0.3 meter dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya. Manakala saksi kejadian Mohamad Azmi Nawawi, 20, berkata ketika kejadian ada tiga penduduk sekitar telah menahannya untuk menghentikan kenderaan kerana berlaku jambatan runtuh di hadapan. "Ketika saya lalu jambatan itu kira-kira jam 10 malam, nak ambik adik tuisyen masih elok. Tapi masa balik ada tiga orang tahan saya tak bagi lalu. "Depa kata jambatan runtuh dan ada orang sudah jatuh, memang kalau depa tak bagitahu saya tak nampak sebab jalan nampak sama saja," katanya. Katanya, kedua mangsa yang tertimbus tanah itu tidak perasan keadaan jambatan itu dan tidak sempat menghentikan motosikal mereka. "Tiga penduduk yang menyedari kejadian jambatan runtuh itu tidak sempat hendak menahan depa supaya tak lalu di situ, kerana depa potong motosikal. "Masa depa jatuh dalam sungai, tanah timbus depa. Nasib sungai masa itu tak berapa ada air. "Saya pi (pergi) tengok hanya nampak bahagian besi belakang motosikal saja, depa kami tak nampak," katanya. Difahamkan runtuhan tersebut melibatkan keluasan sejauh kira-kira 30 meter lebar dan berkedalaman 0.3 meter. Selain itu, Adun Bandar Baharu Datuk NorSabrina Mohd Noor berkata, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) segera mengambil tindakan menutup jalan dengan di kawasan kejadian. "Kita harap pihak berkenaan ambil tindakan menutup segera jalan dan meletakkan tanda amaran. "Penduduk terjejas boleh menggunakan alternatif lain seperti Kampung Tebuan Luar dan Kampung Tebuan Dalam, "katanya. -SINAR HARIAN.