PETALING JAYA: Tanpa mengambil iktibar insiden sebuah restoran yang tular kerana pekerjanya membasuh pinggan menggunakan air lopak, terkini premis di Pulau Pinang pula umpama memperlekehkan kesetiaan pelanggan. Menerusi video yang dikongsikan di halaman Facebook ‘Penang Kini’ pada Rabu, ia dikatakan kiriman seorang pelanggan restoran berkenaan. Menurut keterangan status yang memuat naik video tersebut, premis tersebut dipercayai menyajikan nasi kandar di Georgetown, Pulau Pinang. “Kelihatan pekerja sedang mengelap meja menggunakan kain, dan kemudian bila dah habis lap, kain itu diselitkan di sebelah tong sampah. “Ini merupakan perlakuan yang tidak sepatutnya kerana kain itu tidak sesuai digunakan untuk mengelap meja kerana tidak lagi bersih dan mengandungi banyak bakteria berbahaya,” menurut kenyataan itu sambil meminta pandangan netizen. Setakat ini, video tersebut mendapat hampir 40,000 tontonan dan dikongsi lebih 400 kali. Bagaimanapun, ia menimbulkan pelbagai reaksi termasuk menyalahkan individu yang merakamkan video berkenaan. “Dia letak kain bukan dalam tong sampah. Dia letak tepi saja. Pergi restoran makan nasi bukan makan meja lah,” katanya. “Dia letak tepi tu pun. Bukan letak dalam tong sampah. Nama pun kain, memang kotor,” ujar seorang lagi netizen. Namun terdapat netizen yang turut tidak bersetuju dengan tindakan kain itu diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya. Kain lap meja yang diletakkan di sebelah tong sampah di dalam restoran. Malah segelintir mereka meminta supaya pihak berkuasa mengambil tindakan dengan menjalankan pemeriksaan terhadap premis berkenaan. “Tak payah selit kat tong sampah. Kain tu dah kotor sangat. Dah lap entah berapa buah meja masih tak cuci,” kata seorang netizen. “Kenapa ada orang yang menyebelahkan kat depa (pihak restoran) ni? Memang tak faham. Kalau dah kotor macam ni kat depan, kat dapaur tak tau lah,” soal seorang lagi netizen yang menyifatkan aspek kebersihan di restoran perlu diutamakan. Tidak kurang ada yang memberikan komen berbaur sindiran buat mereka yang tidak mengambil serius terhadap kebersihan di premis makanan. “Okaylah letak tepi tong. Kalau lepas tu dia ambil pergi lap pinggan pula siapa pun tak tahu,” katanya. Pada Mei lalu, Raj Banana Leaf di Bangsar menjadi perhatian selepas tular video di media sosial menunjukkan kakitangannya mencuci bekas makanan di kawasan air lopak di luar premis itu. Ia menyebabkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengeluarkan arahan menutup operasi serta-merta dan pembatalan lesen perniagaan. Bagaimanapun, selepas ditutup hampir tiga bulan, restoran tersebut kembali beroperasi dengan melakukan penambahbaikan menyeluruh termasuk penjenamaan semula rangkaian restorannya menggunakan nama Restoran RBL Banana Leaf.