suria

Kaji semula perkhidmatan dobi 24 jam

KUALA LUMPUR: Waktu perkhidmatan kedai dobi layan diri terutama yang beroperasi 24 jam disaran dikaji semula bagi mengurangkan risiko kejadian samun.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye menarik perhatian bahawa ramai pelanggan terutama wanita menggunakan perkhidmatan itu selepas waktu kerja termasuk selepas jam 12 tengah malam agar tidak perlu berebut dengan orang lain.

“Namun, tindakan itu meningkatkan peluang penjenayah melakukan jenayah samun ketika tahap keselamatan berada di paras longgar lebih-lebih lagi dalam keadaan mangsa bersendirian tanpa teman,” katanya kepada Bernama berhubung kejadian samun kedai dobi layan diri yang dilaporkan berlaku sejak kebelakangan ini.

Lam Thye seterusnya berkata pengusaha perniagaan itu perlu berbincang dengan polis mengenai usaha menangani gejala samun di premis mereka selain menggesa polis membuat rondaan lebih kerap.

Beliau turut mencadangkan pengusaha kedai dobi memasang kamera litar tertutup di dalam dan di luar premis perniagaan dalam usaha membantu mengenal pasti penjenayah.

“Bagi mereka yang sering mengunjungi pusat dobi layan diri pada waktu malam, elak daripada bersendirian dengan membawa teman. Pergi ke tempat lain untuk menghabiskan waktu ketika menunggu pakaian dicuci,” kata Lee.

Pengguna perkhidmatan dobi, Nuraina Kamsiah Ramli, 26, berkata, kejadian samun yang dilaporkan berlaku menimbulkan sedikit sebanyak perasaan takut dalam dirinya.

Pegawai bank itu tidak menafikan waktu malam paling sesuai untuk mencuci pakaian selepas seharian bekerja.

“Bila pergi waktu malam, saya datang dengan kawan-kawan yang ingin menggunakan perkhidmatan dobi dan sekali gus saling menemani dan menghilangkan perasaan takut,” katanya. - Bernama

Dobi, Samun, Lee Lam Thye

Artikel Sebelum

Maszlee tak layan desakan

Artikel Lain

Tragis! Ibu maut disengat tebuan