KUALA LUMPUR: Seramai 10 suspek pengganas yang merancang untuk melakukan serangan di pusat hiburan di Melaka dan Pulau Pinang akhirnya ditahan dalam serbuan besar-besaran di tujuh negeri. Kesemua suspek ditahan oleh Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas, Bukit Aman di Selangor, Pahang, Johor, Terengganu, Melaka, Kelantan dan Pulau Pinang dalam operasi yang diadakan antara 11 Ogos dan 31 Ogos. Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, siri tangkapan pertama melibatkan lima lelaki berusia antara 39 dan 53 tahun yang merupakan anggota pengganas Asoib di Selangor, Pahang, Johor dan Terengganu. "Mereka merancang untuk bergabung dengan kumpulan pengganas lain di negara Timur Tengah bagi melancarkan serangan di kawasan sempadan. "Lima lelaki itu merancang untuk ke negara Timur Tengah tersebut dan mereka dijangka disediakan dengan kelengkapan penuh oleh kumpulan pengganas di sana," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat. Seorang anggota Asoib itu telah ke negara berkenaan untuk merancang serangan tersebut. "Pengganas ini telah salah faham dengan hadis dan mempercayai Imam Mahdi akan muncul di Makkah tahun ini. "Mereka akan bergabung dengan tentera Imam Mahdi dan menyerang negara-negara sekular serta dajjal," kata beliau. Lima lagi pengganas berusia antara 18 dan 50 tahun ditahan oleh polis di Melaka, Kelantan and Pulau Pinang pada 25 Ogos dan 31 Ogos. - The Star