KOTA TINGGI: Seorang kanak-kanak OKU di Kampung Sungai Buntu, Pengerang mengimpikan dapat bertemu Tunku Mahkota Johor (TMJ). Ibunya, Siti Rohayu Mohd Rosdi berkata, anak sulungnya, Muhammad Hazrul Zainurin, 7, yang dilahirkan dengan simptom pernafasan sempit serta tiada dagu merupakan peminat fanatik JDT dan juga TMJ bahkan setiap perlawanan pasukan itu dia menjadi orang pertama berada di hadapan televisyen. Menurutnya, Hazrul sering menyatakan hasrat mahu berjumpa dengan TMJ sehinggakan membuatkan dirinya buntu untuk merealisasikan impian anaknya itu. "Saya tak tahu macam mana nak buat, jadi saya muat naik status di Facebook Khas Orang Kota Tinggi tentang hajat anak, tak sangka viral. "Dia anak yang istimewa meskipun tidak seperti kanak-kanak lain, tapi dia tidak pernah menyusahkan saya dan suami. Hazrul kini masih menerima rawatan lanjut Hospital Sultan Ismail (HSI) secara bulanan kerana bakal menjalani satu lagi pembedahan rahang,"katanya kepada Sinar Harian. Tambahnya, disebabkan masalah pernafasan, Hazrul tidak boleh terlalu terdedah kepada udara di luar menyebabkan dia tidak pernah merasai pengalaman menonton perlawanan JDT di stadium. Katanya, setiap kali perlawanan JDT, Hazrul pasti akan menanti sehingga akhir perlawanan yang menayangkan wajah TMJ. "Tak dinafikan memang teringin nak bawa Hazrul ke stadium, tapi saya takut nak bawa atas faktor persekitaran. Hazrul amat sensitif dengan udara di sekelilingnya. "Pernah wajahnya menjadi biru akibat tidak dapat bernafas. Tambahan pula siapa nak bawa kami ke stadium. Suami hanya kerja kampung, saya pula hanya buat sambilan memasak di rumah," katanya. Siti Rohayu berkata, kini Hazrul juga sedang menunggu panggilan daripada Hospital Kuala Lumpur untuk menjalani pembedahan rahang. Katanya, Hazrul dilahirkan dengan rahang kecil kerana tiada dagu dan disebabkan itu, doktor memaklumkan anaknya perlu jalani pembedahan rahang baharu. - Sinar Harian