suria

Pekerja kedai kopi dituduh guna wang palsu beli iPhone X

PETALING JAYA: Seorang pekerja kedai kopi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan menggunakan wang kertas palsu berjumlah RM3,500 untuk membuat bayaran pembelian telefon bimbit iPhone X.

Choa Seng Leong, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

Choa didakwa menggunakan mata wang kertas RM100 sebanyak 35 keping pelbagai nombor siri  untuk membuat bayaran pembelian telefon itu  di lobi Hotel Summit, USJ, di sini pada 11.30 malam, 23 Julai lalu.

Mengikut Seksyen 489(B) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya V. V. Suloshani menawarkan wang  jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri ke balai polis berdekatan sebulan sekali.

Tertuduh yang diwakili peguam Datin Raj Preet Kaur memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya tidak berkemampuan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis sebulan sekali selain menetapkan 11 Okt  untuk sebutan semula kes. - Bernama

iPhone X

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan