suria

Doktor tepis mitos pil perancang punca kanser, sebaliknya selamat untuk jangka panjang

PETALING JAYA: Pengambilan pil perancang dalam kalangan wanita di negara ini banyak membantu mereka untuk mengelak atau menjarakkan kehamilan.

Keberkesanan penggunaan pil tersebut untuk menghalang kehamilan tidak dirancang bukan sahaja terbukti oleh kajian sains, malah ia dapat merendahkan kadar kematian ibu dan anak.

Namun, tular di Facebook apabila seorang wanita mendakwa kakak dan kakak iparnya disahkan menghidap kanser yang berpunca daripada pengambilan pil perancang.

Dakwa wanita itu, akibat daripada penggunaan pil perancang, kakaknya meninggal dunia dan kini nasib sama menimpa kakak iparnya pula.

"Kenapa tidak diwar-warkan jika pil perancang pun boleh menyebabkan kanser?

"Kesian arwah kakak saya dan sekarang kakak ipar. Kedua-dua mereka menghidap kanser yang berpunca daripada pengambilan pil perancang," ujar wanita itu pada posting di Facebook pada awal minggu ini yang kemudiannya sudah dipadamkan.

Posting berkaitan pil perancang punca kanser dan kaedah merancang sendiri yang tular di Facebook.

Susulan posting yang tular tersebut, beberapa pengamal perubatan profesional di negara ini tampil membetulkan tanggapan masyarakat berhubung isu hangat berkenaan.

Bagaimanapun, pegawai perubatan kanan Angkatan Tentera Malaysia, Dr Rusyainie Ramli dikecam hebat apabila beliau menasihatkan seorang pengguna Facebook agar tidak mempengaruhi wanita lain untuk merancang kehamilan tanpa menggunakan kaedah merancang yang terbukti berkesan.

Jelas Dr Rusyainie, beliau sudah memberi 'amaran' kepada pengikut di laman media sosialnya supaya tidak mendedahkan kaedah perancang keluarga yang dipraktikkan kepada wanita lain kerana setiap wanita mempunyai tahap kesihatan berbeza.

Malahan, Pertubuhan Kesihatan Dunia telah menyediakan garis panduan untuk pengamal perubatan untuk membantu wanita memilih kaedah merancang keluarga yang sesuai.

"Menurut kajian saintifik, kadar kegagalan merancang sendiri adalah 22 daripada 100 pasangan setiap tahun, walaupun setiap kriteria untuk kaedah tersebut dipenuhi.

"Saya memberi respons begitu kerana sudah jelas menyatakan kepada netizen agar tidak menceritakan kaedah yang mereka amalkan kerana tidak mahu orang lain terpengaruh tanpa mengetahui fakta sebenar," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Jelas seorang doktor yang memiliki lebih 150,000 pengikut di Facebook itu, golongan wanita yang ingin merancang keluarga dengan cara semulajadi bukan setakat menggunakan kaedah azal.

BANI JAMU SUKA CARI PASAL Kan betul saya kata. Bani jamu akan melantun-lantun dan terkinja-kinja bila ada manusia...

Posted by Rusyainie Ramli on Tuesday, September 11, 2018


Antara penjelasan Dr Rusyainie tentang penggunaan jamu dan pil perancang untuk kaedah merancang keluarga.

Wanita perlu tahu cara mengira waktu subur yang betul, mengukur perubahan suhu badan dan memeriksa tahap kelikatan mukus serviks.

Kesemuanya harus diajar oleh pengamal perubatan sebelum wanita terbabit memilih untuk mengikutinya.

Katanya, mereka harus berbincang dengan doktor dan bukannya terpengaruh dengan perkongsian wanita lain di media sosial tentang kaedah merancang yang berkesan.

Setiap satu individu itu berbeza, kaedah yang sesuai untuk seseorang wanita mungkin tidak bersesuaian untuk wanita yang lain.

Beliau juga menegaskan bahawa keadaan perubatan individu adalah sesuatu yang privasi dan tidak seharusnya dikongsikan secara terbuka di media sosial.

Ini kerana ia boleh mencetuskan pelbagai andaian yang selalunya kurang tepat daripada pihak lain yang tidak mengetahui perkara sebenar.

“Sekali lagi, saya menegaskan bahawa pil perancang selamat untuk diambil untuk jangkamasa panjang, dan ia telah terbukti merendahkan risiko kanser rahim, ovari dan usus besar.

"Dan ini sangat bertentangan dengan dakwaan wanita yang menularkan cerita sebaliknya. Yang penting, dapatkan temujanji susulan secara berkala dengan doktor yang merawat," jelas Dr Rusyainie.

pil perancang

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan