KUALA LUMPUR: Seorang wanita Indonesia berusia 34 tahun ditahan selepas dia menyerang seorang pelanggan di sebuah pusat beli-belah di sini. Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, suspek ditahan susulan laporan dia melakukan serangan itu di tempat letak kereta pusat beli-belah tersebut pada Jumaat. "Kami telah menahan suspek dan dia akan direman selama 14 hari," kata beliau. Ia berikutan posting di Facebook berhubung insiden itu yang tular baru-baru ini. Pengguna Facebook, Diana Abdullah memuat naik posting tentang seorang wanita menyimbah cecair berlada ke seorang wanita bernama Sasha ketika mangsa ingin masuk ke dalam keretanya. "Sasha basah kuyup dan cili itu membuatkan kulitnya berpijar. Anak saudara lelakinya juga terkena cili itu. "Suspek ditahan dan dipegang oleh seorang lelaki budiman yang kebetulan berada di situ. "Semua orang beredar selepas pihak keselamatan tiba," tulisnya. Tambah Diana, dia menemani mangsa ke balai polis berdekatan. "Di balai polis, polis menasihatkan Sasha untuik ke hospital terlebih dahulu kerana kulitnya kemerahan. "Kami kemudian pergi semula ke tempat letak kereta dan saya tolong dia bersihkan tempat duduk kenderaan. "Sasha pergi ke HUKM (Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia)," tambah Diana. Menurut wanita itu lagi, Sasha mengalami melecur tahap pertama, namun dia dan anak saudaranya dalam keadaan baik. - The Star