suria

Jamal mengaku tidak bersalah tinggalkan negara secara haram

KUALA LUMPUR: Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang di sini, Selasa atas pertuduhan meninggalkan negara ini secara haram, Mei lalu.

Jamal, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Muhamad Firdaus Sadina Ali.

Mengikut pertuduhan, Jamal didakwa tanpa sebab yang munasabah telah meninggalkan Malaysia tanpa melalui laluan yang dibenarkan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Hospital KPJ Ampang Puteri, di sini, pada 25 Mei lalu mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen pindaan 2002 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 57 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin terhadap Jamal.

Bagaimanapun, peguam Datuk Mohd Imran Tamrin yang mewakili Jamal memohon jaminan munasabah berdasarkan hukuman yang diperuntukkan atas kesalahan ini adalah denda maksimum RM10,000.

"Anak guam saya turut menghadapi beberapa kes lain di mahkamah ini dan sudah membayar jaminan lebih RM20,000, oleh itu mohon pertimbangan mahkamah," katanya.

Mahkamah membenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Sept untuk sebutan semula kes.

Pada 25 Mei lalu, Jamal menghilangkan diri selepas didakwa di hospital itu atas pertuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan botol arak menggunakan penukul besi di hadapan pintu pagar keluar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam, tahun lepas.

Jamal dimasukkan ke hospital itu kerana masalah tulang belakang dan pertuduhan terhadapnya dibacakan di hospital berkenaan.

Pada 11 Julai lalu, Jamal didenda maksimum RM400 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan itu di Mahkamah Majistret Shah Alam. - BERNAMA

Jamal Md Yunos

Artikel Lain