KUALA LUMPUR: Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang kesal dengan beberapa pemimpin parti yang meninggalkan parti ketika sedang diuji menyifatkan tindakan berkenaan bukanlah sikap terpuji dan yang boleh diteladani. Beliau berkata anggota parti itu perlu ikhlas dan memiliki daya juang yang tinggi dalam memastikan kesinambungan perjuangan parti. "Meninggalkan UMNO ketika parti sedang diuji, bukanlah sikap terpuji dan boleh diteladani. "Islam mendidik kita agar taat selagi mana kita tidak menyalahi apa yang dikehendaki oleh syarak," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu. Beliau mengulas tindakan dua Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO iaitu Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Anggota Parlimen Jeli, yang mengumumkan keluar dari parti itu pada Selasa, serta Datuk Seri Anifah Aman yang juga Anggota Parlimen Kimanis, turut mengumumkan keluar daripada parti itu pagi ini. Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, walau apa pun alasannya, tindakan tersebut sangat tidak wajar dilakukan apatah lagi mereka itu dipilih sebagai wakil rakyat atas kepercayaan yang UMNO berikan. "Meletakkan alasan kelemahan parti kerana agenda peribadi sesuatu yang tidak wajar dilakukan," jelasnya. Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 berakhir, katanya, UMNO juga telah melakukan pelbagai usaha untuk mengukuhkan kembali keyakinan rakyat terhadap perjuangan parti itu, sekaligus melakukan usaha agar UMNO dapat bangkit semula menjadi parti yang kuat di negara ini. -- BERNAMA