suria

Lagu untuk isteri tak ada tajuk, korus sahaja pun boleh hit sebab 'sweet teruk'

PETALING JAYA: Setiap pasangan mempelai pasti inginkan hari bahagia mereka dikenang sebagai salah satu momen terindah dalam hidup.

Ada majlis persandingan dimeriahkan dengan kejutan oleh rakan-rakan atau saudara-mara pasangan pengantin yang menari di hadapan mempelai mengikut rentak lagu tertentu dan ada juga yang membuat kejutan dengan hadiah mahal.

Lain orang, lain caranya!

Bagi Muhammad Nor Hakim Mohd Kamal, 25, dia memilih untuk menghadiahkan lagu 'cinta' khas kepada isterinya, Nurmahan Farahin Farhad, 22, yang dimainkan semasa majlis perkahwinan mereka pada 1 September lalu.

Lagu tanpa tajuk itu menjadi tular di media sosial selepas teaser untuk muzik video lagu berkenaan dimuat naik juruvideo mereka, Amy Medusa (Photosyndicate) di Twitternya.

Hakim ketika dihubungi mStar Online berkata dia tidak menduga lagu tersebut mendapat perhatian ramai.

"Asalnya sekadar untuk suka-suka dan untuk dijadikan koleksi peribadi. Namun juruvideo kami (Amy) tampil dengan idea untuk menghasilkan teaser muzik video lagu itu. Jadi saya e-mel lagu tersebut kepadanya.

"Dalam teaser untuk muzik video itu ia hanyalah lagu bahagian korus sahaja. Walaupun bukan lagu penuh, ia sudah menerima lebih 80,000 tontonan.

"Saya sendiri tak sangka lagu tersebut jadi viral sehingga ada kawan sendiri yang maklumkan mengenainya," kata Hakim yang gemar menulis lagu pada masa lapang.

Jelas Hakim, lagu tersebut dihasilkan untuk menzahirkan perasaan cinta terhadap isterinya.

"Lirik lagu itu merupakan luahan hati saya secara jujur untuk isteri. Ia berkisar mengenai harapan...harapan untuk hidup bersama dengannya sehingga akhir hayat," katanya.

Dalam pada itu, Nurmahan Farahin atau lebih mesra disapa sebagai Farah berkata dia amat terharu dengan kegigihan suaminya menghasilkan lagu tersebut dalam masa yang singkat.

"Sebak apabila dapat tahu lagu tersebut dicipta istimewa untuk diri ini.

"Saya anggap ia salah satu hadiah terbaik pernah diterima setakat ini. Ia sesuatu untuk diberitahu kepada anak-anak kami nanti," katanya.

Malah, Farah yang bekerja di sebuah syarikat E-Commerce berkata dia turut seronok kerana lagu tersebut mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.

"Bagi saya ia satu penghargaan. Pujian perlu diberikan kepada Hakim (lirik) dan Amy untuk video yang bagus.

"Saya fikir apabila orang kreatif bertemu orang kreatif maka ia menjadi sesuatu yang diminati rakyat Malaysia," katanya.

Teaser muzik video yang dimuatnaik pada 4 September lalu itu diulang kicau lebih 4,000 kali dan mendapat lebih 5,000 tanda suka.

Netizen turut menyifatkan lagu tersebut sebagai kreatif dan sedap didengar.

Malah ada netizen mahu lagu penuh pasangan tersebut dimuat naik.

kahwin, lagu

Artikel Lain