suria

Selepas huru-hara gerai burger bakar beratur 3 jam, taukenya kini ‘bergabung’ dengan AC Mizal

(Gambar besar) Gerai burger bakar di tepi sebuah jalan di Wangsa Maju, Kuala Lumpur yang diusahakan Nita lapan tahun lalu pernah mencetuskan fenomena. Foto Running Andrew (Gambar kecil) AC Mizal (kiri) dan Nita (kanan).

PETALING JAYA: Hanya beroperasi di tepi jalan lapan tahun lalu, gerai burger bakar yang diasaskannya mendapat sambutan luar biasa sehingga mencetuskan fenomena.

Ratusan pelanggan sanggup berpanas dan berhujan, beratur sehingga tiga jam semata-mata mahu menikmati burger bakar yang terawal ketika itu.

Pengasas burger bakar pertama di Malaysia, Nini Haznita Muhammad, 31, berkata sambutan burger bakar yang diusahakannya di tepi jalan di Wangsa Maju ternyata di luar jangkaan apabila pelanggan beratur panjang sejauh antara 300 dan 500 meter.

“Huru-haranya waktu itu bila gerai kami hanya dibuka pada pukul 4 petang, tetapi pelanggan mula beratur seawal 2 petang walaupun bukan pada hujung minggu.

“Gerai kami yang sepatutnya tutup pada pukul 2 pagi, tetapi masih beroperasi sehingga pukul 4 pagi kerana masih ramai pelanggan,” katanya kepada mStar Online sambil menambah bekalan stok tidak habis bagi memenuhi permintaan tinggi. 

Gerai burger bakar yang menyaksikan pelanggan sanggup beratur sehingga tiga jam.

Katanya yang lebih dikenali sebagai Nita, penjenamaan merupakan akar bagi setiap perniagaan untuk terus bertahan, sekali gus menjadikan sesuatu produk itu lebih unik.

Beliau yang juga berpengalaman dalam perbankan dan insurans menjelaskan bahawa penjenamaan yang lemah akan menimbulkan kekeliruan pengguna terhadap sesuatu produk itu dengan produk lain di pasaran.

“Dalam penjenamaan, kita perlu pastikan bakal pelanggan nampak dahulu, kenal jenama sehingga suka sebelum percaya dan menjadi pelanggan setia. Orang akan beratur dan orang tak akan putus-putus datang, tidak akan lupa produk mereka. Apa saja yang mereka buat, orang masih akan ingat mereka,” tambahnya.

Berdasarkan pengalaman itu, Nita mahu berkongsi rahsia kejayaannya menerusi program KlassMaster Neata dengan bergabung bersama penghibur dan pengacara terkenal, Datuk AC Mizal.

Nini Haznita Muhammad. Foto SHAARI CHEMAT

Jelas Nita, ia merupakan program seminar pertama seumpamanya di Malaysia yang berkonsep segar dan interaktif, dengan menggabungkan usahawan dan selebriti serta sesi ‘coaching’ antara mentor dan mentee.

Katanya, pemilihan AC Mizal untuk turut serta dalam program KlassMaster Neata berikutan selebriti yang disegani itu berpengalaman dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.

“Sebagaimana AC Mizal jenamakan diri beliau yang cukup sinonim dengan tagline ‘Peace Y’all’, sehingga dikenali di seluruh Malaysia sehingga Singapura, begitu juga Nita mengembangkan perniagaan dari sebuah gerai tepi jalan, cawangan di pusat membeli-belah dan berkembang ke Singapura.

“AC Mizal pernah melalui jatuh bangunnya. Beliau pernah susah dan bangkit kembali dalam perniagaan termasuk industri hiburan,” katanya.

Nita secara peribadi berpandangan, AC Mizal diangkat sebagai ikon kerana selebriti itu seorang yang pemurah dengan nasihat dan memberi inspirasi kepada orang lain.

“AC Mizal berjinak-jinak dalam perniagaan di awal pembabitannya dalam dunia seni dan selepas menjadi penghibur yang disegani kini AC Mizal tetap aktif berniaga dan menjadi usahawan yang berjaya, dan beliau melakukannya bukan disebabkan nama besarnya semata-mata, tetapi di atas kebolehannya,” ujar Nita.

AC Mizal bakal terlibat dalam program seminar KlassMaster Neata

Dengan slogan ‘Bikin Bisnes Huru-Hara’ (BBHH), program KlassMaster Neate akan diadakan di Dewan Besar, Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, Selangor pada Ahad, 11 November ini.

Selain Nita dan AC Mizal, program KlassMaster turut membariskan beberapa penceramah berpengalaman dalam bidang usahawan dan komunikasi iaitu Pengasas dan Pengarah Kreatif Cipela Shoes, Hidayah Hassan; Pengasas dan Pemilik Roy’s Barbershop, Azreen Azzroy; wartawan penyiaran, Juliana Pija Ismail dan bekas wartawan jenayah, Siti Aishah Sarani.

“Ramai yang menjadi jurulatih dalam program seperti seminar perniagaan, tapi tak ramai jurulatih yang mengusahakan perniagaan dari bawah, melalui susah senang. Menerusi program KlassMaster ini, semua mentor yang jatuh bangun dan berjaya dihimpunkan untuk berkongsi rahsia kejayaan terutama dalam penjenamaan.

“Sasaran hadirin adalah mereka yang berusia antara 20 dan 40 tahun, dalam kalangan bakal usahawan, sudah bergelar usahawan, mereka yang mahu mengembangkan perniagaan dan usahawan yang mahu melebarkan sayap ke luar negara,” katanya sambil menambah maklumat lanjut mengenai program KlassMaster Neata boleh hubungi 014-2150217 atau 012-3506627 atau laman sosial Instagram @neataofficial.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain