KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyifatkan Bajet 2019 yang akan dibentangkan November ini sebagai belanjawan yang sukar bagi Kerajaan Persekutuan. Bajet itu yang pertama untuk kerajaan Pakatan Harapan, dijadual untuk dibentangkan di Parlimen pada 2 November ini. “Kita perlu membetulkan kewangan fiskal dan pada masa sama perlu juga meningkatkan kesejahteraan rakyat. Kita harap rakyat akan faham bahawa kita perlukan masa tiga tahun untuk berbuat demikian," katanya dalam temubual Bernama News. Terdahulu, ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara di Bernama News Channel (BNC), Lim berkata kerajaan sememangnya mengharapkan perkembangan yang positif dalam usaha mengurangkan bebanan hutang negara dalam masa tiga tahun, walaupun meraih hasil kutipan cukai lebih rendah. Di bawah pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kerajaan dijangka mengutip sejumlah RM21 bilion pada tahun depan berbanding RM44 bilion menerusi Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). “Melalui pelaksanaan SST yang telah ditambahbaik, kerajaan sudah ‘mengembalikan' semula jumlah kutipan cukai yang dianggarkan sekitar RM23 billion kepada rakyat,” katanya.-- BERNAMA