suria

"Pakcik Abdul Kadir berhati mulia" dijemput Ilahi semasa selamatkan kucing

Foto Facebook Kelab Kucing Jalanan Sarawak

PETALING JAYA: Ketika kecoh seekor kucing bunting dibunuh dalam mesin pengering di sebuah kedai dobi oleh beberapa individu tidak berperikemanusian sehingga membangkitkan kemarahan ramai, masih ada insan berhati mulia yang menyayangi haiwan itu.

Bagaimanapun, dalam kejadian yang berlaku di Kuching, Sarawak itu, takdir menentukan insan berkenaan maut dalam kemalangan ketika sedang menunggang motosikalnya sambil membawa kotak berisi beberapa ekor kucing jalanan.

Insiden ini tular di media sosial apabila kucing-kucing tersebut selamat, tetapi 'si penyelamatnya' meninggal dunia selepas terbabas dan terlanggar pembahagi jalan di Kuching, Sarawak pada Jumaat.

Abdul Kadir yang meninggal dunia dalam kemalangan di bulatan Bulatan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) pada pagi Jumaat. Foto Facebook

Halaman Facebook Kelab Kucing Jalanan Sarawak memaklumkan bahawa Abdul Kadir Bujang meninggal dunia dalam kemalangan di Bulatan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di Jalan Semariang, Kuching.

“Perginya salah seorang penyelamat pusak (kucing) pagi tadi, Pakcik Abdul Kadir bin Bujang akibat daripada kemalangan di bulatan DBKU mengejutkan dan menyentuh hati kita semua.

“Admin difahamkan kucing yang diselamatkan Pakcik Abdul Kadir berada di dalam kotak masih hidup. Admin cuma nak tahu apa status kucing-kucing semua. Dah diambil orang atau macam mana,” menurut kenyataan pengendali kelab itu.

Kelab Kucing Jalanan Sarawak turut melancarkan kutipan derma kilat bagi meringankan beban keluarga Abdul Kadir yang dikatakan bekerja sebagai pencuci kereta dan motosikal.

Kotak mengandungi beberapa ekor kucing dipercayai ditemui di tempat kejadian. Foto Facebook

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu ketika dihubungi mStar Online mengesahkan mangsa dikenali sebagai Abdul Kadir Bujang, 57, dan berasal dari Kampung Semariang Tanah Merah.

Katanya, kemalangan berlaku kira-kira pukul 8.55 pagi melibatkan sebuah motosikal yang terbabas sendiri di bahu jalan lalu melanggar pembahagi dan jatuh di sebelah bulatan tersebut.

“Ketika polis tiba di tempat kejadian, selain mangsa, yang ditemui adalah motosikal dan topi keledar serta barangan peribadi seperti dokumen pengenalan. 

“Kami tidak menjumpai kotak mengandungi kucing di tempat kejadian. Bagaimanapun, berdasarkan maklumat yang tersebar di media sosial, kotak tersebut ditemui bersama mangsa oleh orang awam di situ,” katanya.

Alexson berkata, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Umum Sarawak (HUS) di tempat kejadian, sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1988.

Kemalangan di Bulatan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU). Foto Facebook

Dalam pada itu, rata-rata netizen mengucapkan takziah di atas pemergian Abdul Kadir yang disifatkan seorang insan berhati mulia kerana sering menyelamatkan kucing jalanan.

“Dijemput Allah pada penghulu segala hari dan semasa membuat amal kebajikan. Hanya Allah sahaja yang boleh membalas segala jasa baiknya,” kata seorang netizen.

“Sungguh mulia hatinya. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Semoga ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” ujar seorang lagi netizen.

Dalam pada itu, terdapat netizen lain memaklumkan kucing berkenaan telah diambil oleh orang awam. 

Sebelum ini, tular satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan tindakan kejam dua individu yang ditahan polis, bersama seorang lagi yang masih bebas membunuh kucing yang dipercayai bunting dengan cara memasukkannya ke dalam mesin mengering pakaian di sebuah kedai dobi layan diri di Batu Caves, Selangor.

Dua suspek didakwa di mahkamah, bagaimanapun kedua-duanya tidak mengaku bersalah. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29 (1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 29 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel Sebelum

Wak Doyok sertai Amanah

Artikel Lain