PETALING JAYA: Air detoks atau infused water pernah mencetuskan fenomena, selain menjadi kegilaan ramai, terutama mereka yang obses mahu menurunkan berat badan. Sehingga hari ini, amalan minum air detoks masih menjadi trend kerana penyediaannya yang mudah dan boleh dihasilkan mengikut citarasa masing-masing. Air detoks adalah air putih yang dicampurkan dengan hirisan buah-buahan atau herba dan dibiarkan selama beberapa jam atau semalam sebelum dinikmati. Namun, tahukah anda bahawa dakwaan air detoks mampu menurunkan berat badan adalah tidak benar. Menurut Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Khairul Hafidz Alkhair Khairul Amin, air detoks sebenarnya tidak akan memecahkan lemak. "Tiada kajian yang membuktikan air detoks mampu memecahkan lemak dan secara psikologi adalah tidak mungkin ia dapat memecahkan lemak. "Jika ada pun air detoks berkemungkinan lebih banyak membantu membuang air besar dan air kecil. "Perlu faham badan terdiri daripada otot, tulang, lemak dan air. Apabila air dibuang pastilah berat turun tapi ini tidak bermakna kita kurus kerana target kita adalah lemak," katanya menerusi satu bebenang di Twitter, baru-baru ini. Perkongsian beberapa fakta mengenai air detoks itu menjadi tular dan diulang kicau lebih 2,000 kali dan mendapat kira-kira lebih 1,000 tanda suka. Dr Khairul Hafidz yang juga pengasas MedTweet.MY., turut meluahkan rasa bimbang terhadap pengguna yang obses dengan minuman tersebut. Dr Khairul Hafidz Alkhair Khairul Amin. "Kalau target nak turun berat, target kepada inch loss bukan hanya weight loss. Takut air sahaja yang keluar, bukan lemak yang dibakar. "Ada pula yang buat tips minum air detoks dengan jaga makan dan bersenam. "Benar mereka dapat hasil yang dimahukan, akan tetapi itu kerana mereka jaga makan dan bersenam, air detoks tu tak membantu sebenarnya," katanya. Jelas Dr Khairul Hafidz, organ manusia sebenarnya adalah “mesin” detoks semula jadi. "Organ badan yang akan melakukan segala proses pembuangan bahan toksin dalam badan. Sememangnya badan kita mempunyai sistem regulasi bagus yang membantu mengekalkan sistem badan dalam keadaan baik. "Bayangkan tiada sistem regulasi ini, sehinggakan perlu air detoks untuk membantu badan, sudah pastilah setiap hari sistem badan kita menjadi kucar kacir jika tak minum air detoks ini," katanya. Beliau berkata, sistem regulasi badan dan organ sudah cukup untuk membuang semua bahan toksin dalam badan. "Boleh sahaja kalau nak tahu bahan toksin dalam badan dan pH badan kita normal atau tidak, kita ambil sahaja pemeriksaan darah. "Saya dah lihat banyak hasil darah orang normal, semua parameter dan pH mereka normal sahaja. Badan buat semua kerja tu dah," katanya. Justeru, beliau berharap agar orang ramai memahami isu tersebut dan mengamalkan gaya hidup lebih sihat. "Tiada jalan pintas untuk menurunkan berat badan. Nak dapatkan berat badan ideal, kena usaha," katanya.