suria

Kelab Bunga Raya cungkil bakat pelapis Tun M

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bergambar bersama hadirin selepas sesi dialog bersama anggota Kelab Bunga Raya United Kingdom.

LONDON: Sekumpulan anak muda yang juga ahli Kelab Bunga Raya United Kingdom komited mengadakan pelbagai program untuk mencungkil bakat baharu dalam kepimpinan bagi melahirkan lebih ramai pemimpin pelapis yang memiliki ketokohan seperti Perdana Menteri Tun Dr  Mahathir Mohamad.

Exco Armada Bersatu (Biro Perhubungan Antarabangsa) Muzzammil Ismail berkata, kelab berkenaan kini sedang dalam rangka kerja  untuk ke arah menjadi sebuah institusi pemikir dan akademi perkaderan (sistem menanamkan nilai moral) pelapis kepada pemimpin-pemimpin.

"Kelab ini ditubuhkan pada 2016 berkembang dan menjadi platform di mana anak Malaysia di perantauan dilatih bahkan mendapat pengalaman menguruskan organisasi, waima menjadi pemikir kritikal kepada negara.  

"Sehubungan itu keahliannya  terbuka untuk para pelajar dan golongan profesional berpengalaman," katanya ketika berucap dalam satu sesi dialog bersama Tun Mahathir, pada Ahad (waktu tempatan).

Perdana Menteri ketujuh itu menghadiri sesi dialog bersama hampir 200 rakyat Malaysia di United Kingdom sekali gus  merasmikan  program induksi dan majlis eksekutif Kelab Bunga Raya baharu sesi 2018/19.

Tambah Muzzammil, dalam usaha itu Kelab Bunga Raya United Kingdom perlu berjalan ke hadapan secara budiman dengan menampilkan  idea perancangan bijak untuk mensinergikan agenda agama, bangsa, politik serta intelektual yang sememangnya berdepanpelbagai krisis.

"Kelab Bunga Raya United Kingdom adalah sekolah yang bakal menginstitusikan  1001 Tun Dr Mahathir," tegasnya.

Pertemuan bersama negarawan ulung itu dianjurkan kelab berkenaan bagi mendukung aspirasi parti Bersatu.

Selain ahli kelab itu sendiri turut hadir ke pertemuan dan dialog bersama perdana menteri itu ialah pemimpin-pemimpin pelajar di United Kingdom.-SinarHarian
Kelab Bunga Raya, Mahathir

Artikel Lain