suria

Tempoh reman Abdul Azeez, abang disambung enam hari

PUTRAJAYA: Mahkamah Majistret Putrajaya pada Sabtu melanjutkan tempoh tahanan reman terhadap Anggota Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan abangnya selama enam hari lagi bagi membantu siasatan kes rasuah.

Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melanjutkan tahanan reman terhadap kedua-dua lelaki itu bermula esok sehingga 5 Oktober ini.

Bagaimanapun, seorang lagi suspek, yang juga sepupu Abdul Azeez, dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM10,000 dengan dua orang penjamin selepas SPRM tidak meminta lanjutan reman.

Kesemua suspek sebelum ini direman selama empat hari bermula Rabu lepas bagi membolehkan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.

Menurut jurucakap SPRM, Anggota Majlis Tertinggi Umno itu ditahan kira-kira pukul 11 pagi Selasa lepas di ibu pejabat suruhanjaya itu di sini, selepas hadir memberi keterangan.

Katanya SPRM menahan abang Abdul Azeez setengah jam kemudian di sebuah lokasi di Sungai Buloh, Selangor, manakala sepupu mereka yang juga seorang pengarah syarikat berusia 36 tahun, ditahan pada 5.30 petang hari yang sama di Putrajaya.

Terdahulu, ketibaan Abdul Azeez pada pukul 9.30 pagi dengan berpakaian lokap SPRM dan tangan bergari, disambut oleh kira-kira 120 penyokongnya yang menunggu di perkarangan mahkamah sejak pukul 8.00 pagi. - BERNAMA

Abdul Azeez, SPRM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan