suria

Periksa payudara, Zumba sambil beramal sempena 'Pink October' HKL

PETALING JAYA: Masuk sahaja bulan Oktober bermakna sambutan kesedaran barah payudara akan diraikan selama sebulan di seluruh dunia.

Di Malaysia, barah payudara merupakan kanser nombor satu yang menyerang rakyat negara ini diikuti dengan kanser usus, paru-paru, pangkal rahim dan belakang hidung (nasofarinks).

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Hospital Kuala Lumpur (HKL) 'Pink October' 2018, Dr Ros Suzanna Ahmad Bustamam berkata, pelbagai acara akan diadakan pada sepanjang bulan ini bagi meningkatkan kesedaran orang awam tentang kepentingan membuat pemeriksaan payudara secara berkala bagi mengesan risiko awal kanser tersebut.

Dr Ros Suzanna.

"Tahun ini, kami akan anjurkan acara Zumba memeriahkan sambutan Pink October selain memberi peluang kepada peserta untuk beriadah sambil beramal.

"Pada karnival itu nanti, pemeriksaan payudara dan ujian mamogram secara percuma akan turut diadakan untuk para pengunjung," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.

Tambah Dr Ros Suzanna yang juga merupakan Ketua Jabatan Radioterapi dan Onkologi di HKL, peserta yang berminat hanya dikenakan bayaran sebanyak RM50 seorang untuk menyertai acara Zumba.

Menurut beliau, setiap peserta akan diberikan kit yang mengandungi kemeja-T, cenderahati, snek, pin kesedaran kanser payudara, peluang cabutan bertuah dan sijil penyertaan dengan bayaran tersebut.

Dr Ros Suzanna berkata, wang yang diperolehi dari acara itu akan digunakan untuk memperbanyakkan lagi penganjuran program 'outreach' kanser payudara pada tahun depan.

Karnival yang bakal berlangsung pada 20 Oktober itu turut mengadakan pameran kanser payudara, kaunter pertanyaan untuk bertemu dengan para pakar dan karnival mini 'food truck' di padang HKL.

Mereka yang berminat untuk menyertai acara Zumba tersebut boleh melayari laman web https://hklpoz2018.eventbrite.com.

Pink October, kanser payudara

Artikel Lain