suria

Najib tawar RM3.5 juta jika mengaku bunuh Kevin Morais - tertuduh

KUALA LUMPUR: Tertuduh ketujuh yang didakwa membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais mengakui di Mahkamah Tinggi di sini Selasa bahawa dia ditawarkan wang RM3.5 juta oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengaku bersalah membunuh Kevin Morais.

S Ravi Chandaran, 47, turut mengakui bahawa tawaran itu dibuat melalui pegawai penjara kepadanya dan selain tawaran itu, dia turut menerima tawaran dari adik Kevin Morais sendiri iaitu Datuk Richard Morais untuk membuat pengakuan sama.

Ravi Chandaran yang juga saksi pembelaan keenam berkata demikian ketika pemeriksaan balas peguam, Datuk N.Sivananthan yang mewakili pakar patologi tentera, Dr R. Kunaseegaran, pada prosiding membela diri hari ke-24.

Sivananthan: Kamu katakan Dr Kunaseegaran tawar wang RM1.5 juta untuk kamu mengaku salah. Ini dibuat pada 29 Disember 2017.

Ravi Chandaran: Benar

Sivananthan: Kamu juga ada buat satu laporan polis bahawa pada 26 Januari 2018, Richard Morais tawarkan RM2 juta untuk kamu mengaku salah.

Ravi Chandaran: Ya, benar.

Sivananthan: Dalam laporan yang sama, pada Februari 2018, kamu kata ada pegawai penjara yang menawarkan kamu RM3.5 juta untuk mengaku salah bagi pihak Najib Tun Razak.

Ravi Chandaran: Ya, benar.

Ravi Chandaran turut bersetuju dengan cadangan Sivananthan bahawa keseluruhan wang yang ditawarkan oleh individu-individu terbabit kepadanya untuk mengaku bersalah dalam kes itu adalah berjumlah RM7 juta.

Kepada cadangan Sivananthan bahawa tertuduh telah mereka cerita berhubung tawaran wang itu sehingga ia kelihatan tidak masuk akal, Ravi Chandaran berkata dia tidak bersetuju.

Tertuduh turut tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa tidak ada sebab untuk kesemua individu itu menawarkan wang kepadanya.

Ditanya Sivananthan adakah Dr Kunaseegaran telah mengarahkannya untuk membunuh Kevin Morais, tertuduh berkata 'tidak'.

Dia juga menjawab 'tidak' kepada soalan Sivananthan mengenai adakah Dr Kunaseegaran mengarahkannya melakukan sesuatu seperti menculik Kevin Morais.

Pada prosiding sebelum ini Ravi Chandaran mendakwa Dr Kunaseegaran menawarkan wang RM1.5 juta jika mengaku bersalah membunuh Kevin Morais.

R. Dinishwaran, A.K Thinesh Kumar, M. Vishwanath; S. Nimalan, Ravi Chandaran, dan Dr Kunaseegaran, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh Kevin Morais di dalam perjalanan dari Jalan Dutamas 1, Sentul ke No.1 Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, antara pukul 7.00 pagi dan 8.00 malam, 4 September 2015 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dinishwaran, 26, Thinesh Kumar, 25, Vishwanath; 28, Nimalan, 25, dan Ravi Chandaran, diwakili peguam Rajehgopal manakala pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung 5 Oktober. -BERNAMA

Kevin Morais, bunuh

Artikel Berikut

Artikel Lain