IPOH: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) mengesahkan bunyi letupan disusuli dengan gegaran di beberapa kawasan di Perak khususnya Ipoh bukan berpunca daripada gempa bumi. ARTIKEL BERKAITAN: Gempar bunyi kuat di Ipoh, penduduk sangka letupan bom Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Alui Bahari berkata bunyi letupan dan gegaran itu juga tiada kaitan dengan kejadian gempa bumi di Indonesia. “Letupan dan gegaran yang berlaku di Perak bukan gempa bumi kerana tiada amaran gempa bumi dikesan melalui alat pengesan gempa,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Khamis. Penduduk di beberapa kawasan di Perak khususnya Ipoh panik seketika apabila mendengar bunyi letupan disusuli dengan merasai gegaran sekitar pukul 11 pagi Khamis. Insiden itu tular dan menjadi persoalan di media sosial apabila terdapat netizen mendakwa gegaran itu disebabkan proses pemecahan batu di kawasa kuari di Simpang Pulai di sini. Selain itu, ada tular bahawa letupan itu adalah latihan serangan menggunakan bom hidup yang dijalankan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), bagaimanapun pihak TUDM tidak menerima maklumat mengenai latihan berkenaan. Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superitendan Abdul Rani Alias ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan mengenai kejadian itu. - Bernama