SHAH ALAM: Enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang lemas ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Taman Putra Perdana, Puchong malam Rabu, didapati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sebelum tragedi menimpa. Ketua Pengarah JBPM, Mohammad Hamdan Wahid berkata, meskipun keadaan gelap, operasi SAR tetap diteruskan menggunakan kaedah menyelamat di permukaan air berikutan paras air yang tidak dalam. “Semakan kita mendapati dari segi SOP dan strategi mereka telah patuhinya. Kalau kerja-kerja yang dirancang, memang kita boleh hentikan, tetapi bagi kerja-kerja yang melibatkan nyawa orang yang sedang dicari, kita perlu melihat keadaan. Kalau keadaan mengizinkan kita buat juga kerja pada waktu malam. “Selalu orang mempersoalkan kenapa perlu menyelam ketika waktu malam, tetapi kita tidak menyelam, kita membuat ‘surface water rescue’ kerana air tidak dalam, hanya paras dada,” katanya kepada pemberita. Beliau ditemui selepas upacara solat jenazah dan penghormatan terakhir kepada kesemua enam anggota PPDA itu di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15 di sini, Khamis. Mohammad Hamdan bagaimanapun berkata, pihaknya akan melihat secara terperinci SOP itu agar ia boleh diperbaiki pada masa akan datang seterusnya mengelak tragedi seperti itu berulang. Sementara itu, siasatan awal di tempat kejadian malam Rabu mendapati ia adalah kawasan untuk pengawalan air banjir dan tidak sesuai untuk sebarang aktiviti rekreasi. “Kawasan itu ada terjunan air, dan di kaki terjunan air itulah mereka buat operasi SAR kerana dipercayai mangsa yang dicari mungkin berada di situ. Ketika mereka menuju ke arah terjunan air itu, arus di bawah kuat dan difahamkan di bawah itu ada batu-batu yang diletak untuk memecahkan air, jadi kita percaya mereka mungkin terpijak atas batu itu. “Disebabkan arus bawah yang kuat, seorang daripada penyelamat kita tergelincir bersama pegawai yang lain sebab mereka buat searching menggunakan ‘human chain’ bersama peralatan masing-masing. Mereka berada di dalam air kira-kira 10 minit dan bila dibawa naik ke tebing terus lakukan CPR, namun mereka tidak dapat diselamatkan. “Kita dapati air tidak dalam, tapi kederasan air kuat disebabkan hujan lebat petang semalam, apapun kita akan jalankan satu lagi siasatan dalaman secara terperinci,” katanya. Keenam-enam yang terkorban terdiri daripada empat anggota Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang iaitu Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25, dan Yahya Ali, 24, sementara dua lagi mangsa dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam dikenali sebagai Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25. Kesemua jenazah dibawa ke kampung halaman masing-masing untuk dikebumikan iaitu seorang di Negeri Sembilan, Pahang (seorang), Kelantan (dua orang), Sarawak (seorang) dan Sabah (seorang). - Bernama