suria

Ibu Princess Aura akui dah lama sertai aktiviti paranormal, tapi bukan puteri bunian

PETALING JAYA: Seorang wanita yang mendakwa dirinya ibu kepada kanak-kanak pemilik nama terpanjang di Malaysia mengakui dirinya sudah lama terlibat dalam aktiviti paranormal, iaitu sebelum nama bayinya itu tular.

Wanita yang menggunakan nama 'Puteri Tujuh' di Facebook itu bagaimanapun tidak mengiyakan atau menafikan nama anaknya Princess Aura Nurr Ermily Amara Auliya Bidadari Nawal El Zendra binti Mohd Suffian diambil berunsurkan alam mistik.

"Untuk makluman anda, Puteri Tujuh (ibu Princess Aura) sudah lama terlibat dalam aktiviti paranormal.

"Aktiviti spiritual (kerohanian) Malaysia dan Indonesia, bukannya saya baru menjadi ahli spiritual setelah nama anakanda saya menjadi viral," tulisnya pada posting tersebut.

Puteri Tujuh turut memberi amaran agar pihak luar tidak memandai-mandai membuat kesimpulan sekiranya tidak mengetahui perkara sebenar.

"Ada pula pihak yang kata tok bomoh/alam sebelah la dan sebagainya... Puteri Tujuh perhatikan sahaja komen satu persatu.

"Kalau tak tahu tu jangan memandai-mandai, tak pasal-pasal cipta dosa percuma sahaja," ujar ibu tiga cahaya mata itu.

Posting yang dimuat naik oleh Puteri Tujuh pada Khamis selepas nama anaknya tular di internet.

Bagaimanapun, ibu Princess Aura itu berterima kasih kepada pihak yang mendoakan, mahupun mencaci nama anaknya itu.

Kata Puteri Tujuh, nama anak perempuannya itu tular bukan kerana kehendaknya, tetapi disensasikan oleh netizen sendiri.

Rata-rata netizen menyuarakan kebimbangan tentang kesukaran yang bakal dilalui Princess Aura untuk mengeja nama penuhnya di sekolah pada masa akan datang.

Netizen turut meramalkan bahawa bakal suami kanak-kanak perempuan itu akan berdepan kesulitan saat ingin melafazkan akad nikah nanti.

Malahan, wanita ini juga menjelaskan pemilihan nama Puteri Tujuh sebagai ganti nama dirinya tiada kaitan dengan alam bunian.

Perkongsian netizen tentang nama anak-anak Puteri Tujuh yang lain berdasarkan carian mStar Online di Twitter. 

"Ada pulak pihak yang kata Puteri Tujuh ni bunian ke manusia?"

"Allahu, bila nama Puteri Tujuh sahaja dikaitkan dengan bunian la... sudah pernah puteri jelaskan dulu, nama puteri tu sebagai seorang perempuan atau wanita.

"Tujuh itu sebab saya sendiri suka nombor tujuh dan tiada kena-mengena dengan bunian. Lawak la netizen ni kadang-kadang," ujarnya.

Dalam satu posting berasingan, Puteri Tujuh mendakwa dua anaknya yang lain turut memiliki nama sepanjang Princess Aura.

Princess Aura

Artikel Lain