suria

Bukit Aman tahan 8 suspek pengganas Salafi Jihadi termasuk tujuh warga asing

KUALA LUMPUR: Lapan lelaki disyaki terlibat dalam kegiatan pengganas ditahan di beberapa negeri pada bulan lalu.

Cawangan Khas Divisyen Anti Keganasan Bukit Aman menahan tujuh warga asing dan seorang rakyat tempatan di Perlis, Johor dan ibu negara pada 24 September lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pada 6 Oktober, semua suspek yang terlibat dengan kegiatan ekstrimis di pusat pembelajaran islam di Perlis.

"Mereka ini termasuk pelajar dan bekas tenaga pengajar di pusat berkenaan.

"Penahanan dibuat selepas menerima maklumat risikan mengenai adanya kumpulan pengganas berpangkalan di Yaman yang merancang mewujudkan pusat pembelajaran di Asia Tenggara bagi mempromosi kegiatan ekstrimis Salafi Jihadi.

"Siasatan awal mendapati suspek mempunyai hubungan dengan madrasah di Dammaj, Yaman yang dipelopori Sheikh Muqbil Al Wadi, salah seorang cendikiawan Salafi Jihadi.

"Madrasah itu mengikut pembelajaran Salafi Jihadi yang membenarkan pembunuhan umat Islam dan bukan Islam yang enggan mengikut cara mereka," demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.

Kata Fuzi, fasa pertama penahanan dibuat di Perlis melibatkan lima warga Eropah dan seorang rakyat Amerika Syarikat berusia antara 24 dan 38 tahun.

"Kami percaya semua enam suspek ada kaitan dengan kumpulan pengganas Negara Islam dan kegiatan lain di rantau ini.

"Mereka adalah pelajar di pusat pembelajaran Islam di Perlis," katanya.

Selain itu, suspek ke tujuh adalah lelaki Asia Barat berusia 33 tahun yang ditahan di ibu negara yang juga tenaga pengajar di pusat itu.

"Kami percaya dia menyebarkan pengajaran Salafi Jihadi di Lembah Klang," katanya.

Katanya lagi, lelaki terakhir yang ditahan adalah rakyat tempatan berusia 32 tahun di Muar, Johor.
Salafi Jihadi, Fuzi

Artikel Lain