KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan produk Iceberg Lettuce (sejenis salad) yang dijual di pasaran tempatan dengan jenama Vege 2 Fresh dicemari bahan kimia fipronil, dan meminta pihak syarikat menghentikan penjualannya serta merta. Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya mengambil maklum penarikan balik produk Iceberg Lettuce keluaran Malaysia dari pasaran Singapura di laman sesawang Agri-Food and Veterinary Authority (AVA) bertarikh 4 Oktober. “Laporan tersebut menyatakan pihak AVA mengarahkan produk lettuce berjenama Pasar dan Iceberg keluaran Malaysia dengan berat 400 gram setiap produk ditarik balik dari pasaran Singapura kerana dikesan tercemar dengan bahan kimia fipronil. “Fipronil adalah sejenis racun serangga biasanya digunakan ke atas haiwan untuk mengatasi masalah kutu dan hama. "Pengambilan fipronil pada paras tinggi dalam jangka pendek boleh menyebabkan berpeluh, loya, muntah, sakit kepala, sakit perut, pening, resah, lemah dan kekejangan,” katanya dalam satu kenyataan. Menurutnya hasil pemantauan KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan dari 2017 sehingga Julai 2018, sebanyak 5,297 sampel sayur-sayuran dan buah-buahan diambil di pasaran tempatan dan di pintu masuk negara bagi yang diimport untuk dianalisis. Hasil analisis mendapati 97 (1.8%) sampel dikesan mengandungi residu racun perosak melebihi kadar maksimum yang dibenarkan dan tindakan penguatkuasaan telah dijalankan. Dr Noor Hisham berkata KKM akan terus meningkatkan pemantauan ke atas sayur-sayuran di pasaran tempatan dan di pintu masuk negara bagi memastikan pematuhan ke atas perundangan makanan. Di bawah Seksyen 13 Akta Makanan 1983 menetapkan mana-mana orang menyediakan atau menjual apa-apa makanan mengandungi bahan beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali. Pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq untuk mengajukan sebarang kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan. - BERNAMA