suria

Pemandu treler sebabkan lima rentung ditahan

KUALA KANGSAR: Pemandu treler yang merempuh sebuah kereta sehingga mengakibatkan lima orang rentung dalam kemalangan di Km255.3 Lebuhraya Utara-Selatan menghala utara selepas Terowong Menora di sini Sabtu, ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Razali Ibrahim berkata pemandu treler berusia 41 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut di lokasi kejadian sejurus selepas kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 11.47 pagi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pemandu itu terpaksa membelok ke kanan menghimpit pembahagi jalan bagi mengurangkan kelajuan treler selepas mendapati brek kenderaannya gagal berfungsi, yang mengakibatkan ia melanggar kereta Perodua Myvi, Proton Iswara dan Kia Forte.

"Myvi dan Iswara terselamat dalam kemalangan itu… hanya Kia Forte yang tersepit dengan treler. Pemandu treler itu mendakwa dia tidak nampak sebuah kereta di kanan jalan ketika kejadian," katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar di sini Ahad.

Katanya hasil semakan mendapati pemandu treler yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu mempunyai 13 saman trafik antaranya memandu melebihi had laju, manakala syarikat pemilik treler itu pula mempunyai 11 saman pelbagai kesalahan.

Menurutnya pemandu treler itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kangsar pada Isnin untuk ditahan reman sekiranya proses siasatan masih belum lengkap dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu Razali berkata beberapa individu dipercayai anggota keluarga mangsa kemalangan sudahpun tampil untuk melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi proses pengecaman mayat.

"Ada dua keluarga yang datang hadir membuat pengecaman mayat. Bagaimanapun identiti kesemua mangsa masih belum dapat disahkan,” katanya.

Tinjauan Bernama di Hospital Kuala Kangsar mendapati beberapa individu dipercayai waris mangsa kemalangan hadir di perkarangan rumah mayat kira-kira pukul 9 pagi.

Difahamkan, tiga daripada lima mangsa yang rentung terdiri daripada seorang wanita warga emas berusia 60 tahun, serta seorang wanita berusia 37 tahun bersama bayi lelakinya yang baru berusia setahun, dan mereka dipercayai dalam perjalanan dari Selangor untuk menghadiri upacara keagamaan di Taiping.

kemalangan, rentung, treler

Artikel Lain