PETALING JAYA: Kaum wanita yang tidak pandai memasak sering dikecam, terutama mereka yang belum berkahwin dan masih mencari jodoh.
Malah, terdapat gurauan menyebut “perempuan kalau tak pandai masak, tak boleh letak hantaran mahal-mahal”, tidak terkecuali sindiran “harapkan muka saja lawa, memasak pun tak pandai. Meranalah siapa jadi laki dia.”
Menerusi perkongsian seorang guru lelaki di laman sosial, dia mengakui bahawa memasak itu merupakan satu kelebihan kepada gadis-gadis.
Bagaimanapun jelas guru sekolah rendah ini, kehandalan memasak bukanlah kunci utama kebahagiaan rumah tangga, tapi ia sebaliknya adalah satu nilai tambah.
“Selalu juga geng mak-mak yang power (mahir) memasak sindir orang lain yang kurang mahir memasak dengan ayat sebegini ‘air tangan isteri inilah pengikat kasih suami tau. Kau kena belajar memasak cepat-cepat, nanti laki kau lari cari orang lain’.
“Aduh kakak-kakak sekalian. Aku setuju bab air tangan isteri sebagai pengikat kasih. Tapi tak adalah sampai laki lari semata-mata kerana itu. Bahkan ramai sahaja wanita memasak power, tukang masak restoran ternama lagi dimadukan atau diceraikan,” kata Mohd Fadli Salleh di halaman Facebooknya pada Isnin malam sehingga tular.
Mohd Fadli yang merupakan penulis buku 'Cikgu Kelas Sebelah' turut berkongsi mengenai rakannya yang kacak setaraf pelakon dan model, yang dijodohkan dengan seorang wanita yang tidak begitu mahir memasak.
"Li. Abang ni tunggu enam tahun baru dapat rasa masakan bini abang hampir setanding masakan ibu abang tau.
“Setiap kali dia masak, walau tak sedap mana, abang makan je tanpa kutuk apa-apa. Perlahan-lahan kemahiran memasak dia meningkat,” katanya, sambil menambah perkahwinan rakannya itu kini berusia lebih 15 tahun.
Namun katanya, perkongsiannya itu bukan bertujuan untuk menggalakkan wanita agar terus malas atau tidak perlu belajar memasak.
“Aku cuma nak berkongsi bahawa kepandaian memasak hanya nilai tambah yang menaikkan lagi saham mana-mana anak dara mahu pun janda.
“Kebahagiaan rumah tangga itu bukan hanya terletak pada kehandalan memasak, bahkan toleransi, kerjasama, memberi dan menerima, saling melengkapi dan memahami itu yang lebih utama,” ujarnya.
Menerusi ruangan komen, ramai wanita menarik nafas lega selepas mereka mengakui tidak pandai memasak dan hanya mendapat kemahiran itu selepas berumah tangga.
Seorang netizen tanpa segan silu mengakui dirinya tidak pandai memasak semasa pertemuan pertamanya dengan bakal ibu mertua.
“Saya orang yang berterus-terang. Pertama kali jumpa bakal mak mertua, terus cakap ‘makcik, saya tak pandai masak, tapi saya nak belajar kalau makcik sudi tunjuk ajar,” katanya.
Mengimbas kembali peristiwa 13 tahun lalu, dia bersyukur kerana ibu mertuanya itu sedia memberi tunjuk ajar.
"Sekarang ni, taklah 'terror' (pandai) tapi lepaslah anak dan suami makan," ujarnya secara berseloroh.
Sementara itu, seorang netizen yang pernah bergelar janda mendedahkan dirinya mahir memasak, tetapi jelasnya kelebihan itu bukan jaminan yang membuatkan seseorang lelaki itu setia pada pasangannya.
“Akak pandai masak. Dulu hari-hari masak. Jangan sebutlah tak pandai masak laki lari. Lelaki kalau letak bidadari pun depan mata kalau keranjang matanya, tetap ke laut dalam perginya,” katanya.