PETALING JAYA: Seorang graduan sarjana pengurusan hospitaliti tular di Twitter apabila lagu yang syahdu rekaannya meraih sambutan menggalakkan daripada netizen. Lagu demo berdurasi dua minit 20 saat itu ditonton lebih 74,400 kali selepas seorang wanita memuat naik lagu tersebut pada Selasa. Wanita berkenaan, Faieznor, 26, telah pun meminta izin daripada rakan lelakinya itu untuk memuat naik lagu tersebut di Twitter kerana berpandangan ia memiliki lirik dan melodi yang merdu. "Sepanjang saya mengenalinya sebagai rakan, dia sememangnya sudah lama berkecimpung dalam bidang muzik tetapi tidak mempunyai platform untuk ketengahkan bakatnya kepada orang ramai. "Harapan saya sudah semestinya mahu dia berjaya dalam bidang yang dia ceburi serta karyanya diterima ramai pihak," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat. Kawan aku ni suka sangat buat lagu, menyanyi and suara pun sedap. Selalu bagi aku lagu dia buat. Tapi tade platform nak ketengahkan talent dia tu. Korang dengar la dia nyanyi ni wehh support member aku. Mesti dia terharu ni kalau ramai support ? pic.twitter.com/tiKZ7PKsmy — Fiz Faieznor (@FizFaiez) October 9, 2018 Graduan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang mencipta lagu tersebut, Alif Azhari Ismail, 28, berkata, dia tidak menyangka lagu yang belum siap sepenuhnya itu mendapat reaksi positif daripada pengguna Twitter. "Saya teruja dan sebenarnya tidak sangka (dapat sambutan) sebab saya bagi lagu ni secara rambang kepada kawan-kawan untuk dapatkan komen mereka. "Kawan saya Fiz (Faieznor) tu pun cakap sedap lagu ni dan minta izin untuk 'post' di Twitter, saya setuju sahaja tanpa berharap apa-apa," katanya kepada mStar Online. Menurut Alif Azhari, lagu gubahannya itu sebenarnya bukan ditujukan buat teman wanitanya, seperti sangkaan ramai, namun liriknya ditulis oleh rakan baiknya, Aiman Sidek mempunyai cerita tersendiri. Alif Azhari. Kata pemuda yang berasal dari Shah Alam itu, lagu tersebut mengisahkan tentang penantian seorang suami yang setia menunggu isterinya yang lumpuh akibat kemalangan. "Lagu tu masih belum siap dan kami berdua juga belum ada tajuk muktamad untuk lagu ini, tapi mungkin berjudul 'Terus Menunggu'. "Tapi, yang ada di Twitter tu pun belum selesai lagi. InsyaAllah dalam masa terdekat ni, kami akan rekod betul-betul dan masukkan instrumen," ujarnya. Kata Alif Azhari, sebelum ini, lagu-lagu yang dihasilkannya tidak pernah mendapat jumlah tontonan setinggi itu apabila dikongsikan di Facebook. Pemuda yang sering memuat naik lagu-lagunya di saluran YouTube Azhari90 itu berharap, bakatnya boleh diterima oleh orang ramai dan dia dapat merealisasikan impian bergelar penyanyi dan komposer satu hari nanti.