suria

Tiga warga Myanmar maut dalam kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands

IPOH: Tiga rakyat Myanmar, termasuk suami isteri, ditemukan terkambus hidup-hidup dalam insiden tanah runtuh yang memusnahkan rumah kongsi mereka di Batu 49, Kuala Terla di Cameron Highlands pada Ahad.

Ketua Polis Cameron Highlands, Deputi Supritendan Ashari Abu Samah berkata, mangsa telah dikenal pasti sebagai Aung Thong dan isterinya Naing Vai, kedua-duanya berusia 23 tahun, dan rakan mereka, Mu Aye Aye, 34.

Ashari berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 3 pagi Ahad, apabila ketiga-tiga pekerja ladang terbabit sedang tidur.

"Hujan yang lebat menyebabkan kejadian tanah runtuh," katanya.

"Pondok itu dibina secara tidak sah di kaki cerun di bawah jalan," katanya.

Ashari berkata polis hanya menerima maklumat mengenai insiden itu kira-kira pukul 10.40 pagi.

Beliau berkata, sekumpulan 28 anggota yang terdiri daripada 10 polis dan 18 daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat tiba di lokasi kejadian pada pukul 11.30 pagi.

"Kawan-kawan mangsa telah menggali dua daripada mereka ketika kami sampai di sana. Kedua-duanya disahkan meninggal dunia.

"Mangsa ketiga ditemui sekitar pukul 1.20 petang," katanya.

Ketiga-tiga mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di Tanah Rata untuk bedah siasat. - The Star

tanah runtuh, Cameron Highlands

Artikel Lain