PETALING JAYA: Netizen mempersoalkan kenapa Khairy Jamaluddin bertindak 'tidak profesional' ketika bersalam dengan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Kedua-dua mereka bertembung ketika meraikan kepulangan atlet Sukan Para Asia di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), malam Ahad. Menerusi video berdurasi 11 saat yang tular itu, Syed Saddiq kelihatan bersalaman dengan semua yang hadir di situ termasuk Khairy. Syed Saddiq menghulurkan tangan sambil bertanya: "How are you, sir?" namun Khairy dilihat menyambutnya dingin sebelum terus berpaling ke arah lain. Tindakan Khairy itu dianggap tidak profesional oleh sesetengah netizen, menyebabkan timbul perdebatan dalam kalangan mereka. Khairy yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan turut hadir di KLIA bagi menyambut kepulangan wira dan wirawati negara yang meraih 17 pingat emas pada temasya yang berlangsung di Indonesia itu. Sebelum itu, Khairy turut memuat naik video bertemu Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi yang mencipta kejayaan luar biasa dengan membolot tiga pingat emas. Selain itu, ketibaan mereka turut disambut Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.