suria

Laungan azan tokoh Maal Hijrah pecah keheningan suasana di Palu

Mangsa gempa bumi dan tsunami di Palu menunaikan solat berjemaah di masjid berhampiran kem penempatan sementara mereka pada Ahad. -foto REUTERS

PALU (Sulawesi Tengah): Tokoh Maal Hijrah Pulau Pinang 2018, Kamarudin Abdullah pada Isnin melaungkan azan zohor dari sebuah bangunan di sekitar kawasan perumahan di sini.

Di sebalik kekangan beberapa masjid di daerah Palu yang tidak mampu melaungkan azan menggunakan pembesar suara ekoran kerosakan akibat gempa bumi dan tsunami pada 28 September lepas, kelantangan laungan azan pendakwah terkenal itu memecah keheningan suasana di Palu.

Kamarudin yang juga Presiden Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI) melaungkan azan sebaiknya masuk waktu zohor pada kira-kira pukul 11.45 pagi waktu tempatan di bangunan milik Sekolah Menengah Agama Al-Quran Karisma, yang ditinggalkan tidak berpenghuni pasca tragedi gempa bumi dan tsunami.

Kamarudin Abdullah

Beliau kemudian menjadi imam kepada jemaah yang terdiri daripada sukarelawan misi bantuan kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) di bangunan yang sama.

Bangunan sekolah agama itu kini dijadikan markas operasi dan penempatan pasukan misi kemanusiaan Mapim seramai 40 sukarelawan termasuk Kamarudin yang mewakili IPSI.

Mengikut penduduk setempat, bangunan sekolah agama berkenaan dikosongkan sebaik berlaku gempa di Palu, dengan ibu bapa dan penjaga pelajar-pelajar dipanggil mengambil anak mereka pulang ke rumah.

Gempa bumi 7.7 pada skala Richter dan tsunami itu setakat ini telah mengorbankan lebih 2,000 nyawa dengan lebih 30,000 lagi penduduk terkesan akibat tragedi berkenaan. -Bernama

Palu, azan, Kamarudin Abdullah

Artikel Berikut

Artikel Lain