KUALA TERENGGANU: Tidak pernah serik, seorang penuntut di sebuah pusat pengajian tinggi awam (IPTA), di sini, didenda maksimum RM3,000 oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu pada Selasa atas kesalahan berkhalwat dengan dua wanita, pada Jun lalu. Lelaki berusia 23 tahun yang berasal dari Marang itu sebelum ini memiliki rekod kesalahan berkhalwat dengan pasangan berbeza turut berdepan hukuman dua bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan. Keputusan dibuat Hakim Syarie selepas dia bersama dua pasangannya yang berusia 23, mengaku bersalah mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat. Bagi kesalahan itu, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun, jika disabitkan kesalahan. Bagaimanapun, keputusan hukuman bagi dua wanita tersebut yang salah seorangnya penuntut di IPTA, di sini, dan seorang lagi bekerja sebagai pereka fesyen ditetapkan pada Disember ini. Berdasarkan fakta kes, pada 12 Jun lalu, lebih kurang pukul 1.35 pagi, serbuan dibuat ke atas sebuah rumah di Gong Badak, Kuala Nerus. Semasa sampai, didapati pintu utama tertutup rapat dan berkunci sebelum dibuka oleh seorang perempuan beberapa minit selepas diketuk. Keadaan di dalam rumah ketika itu gelap sebelum wanita tersebut diarahkan membuka lampu dan dalam masa sama, didapati seorang lelaki sedang berjalan dari ruang dapur ke ruang tamu rumah. Siasatan lanjut mendapati hanya mereka bertiga sahaja berada di dalam rumah dan tiada hubungan suami isteri atau mahram. Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Khanurulhajja Mustafar. - Sinar Harian