KUALA LUMPUR: Lynas Corporation Ltd (Lynas) perlu mengambil tanggungjawab penuh terhadap pekerjanya yang berkemungkinan berhadapan risiko kehilangan pekerjaan sekiranya operasi syarikat itu ditutup, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh. Beliau yang juga Anggota Parlimen Kuantan berkata ini kerana syarikat nadir bumi itu yang berulang kali memberi jaminan kepada masyarakat dan pekerjanya sendiri bahawa operasi syarikat yang terletak di Gebeng, Kuantan itu adalah selamat. Tambahnya, kerajaan sememangnya mengambil berat mengenai kebajikan pekerja Lynas namun aspek yang lebih besar perlu dilihat terutamanya melibatkan keselamatan warga Kuantan. "Kita perlu melihat kepada aspek yang lebih besar iaitu kebajikan dan keselamatan warga Kuantan secara keseluruhannya iaitu seramai 600,000 orang penduduk,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri program temu bual Program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel (BNC) di Wisma Bernama, di sini, Selasa. “Ramai juga antara mereka yang bekerja di Gebeng dan terdedah kepada udara dan pencemaran dari segi debu dan radiasi yang datang dari kilang, ini juga mustahak,” tambahnya Beberapa akhbar tempatan hari ini melaporkan Lynas mengeluarkan testimoni para pekerja kilang itu yang menyatakan keyakinan mereka terhadap operasi kilang. Pekerja syarikat itu juga sebelum ini pernah melahirkan rasa bimbang terhadap jaminan pekerjaan mereka di kilang berkenaan yang bakal terjejas. Semalam, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi Lynas Advance Materials Plant (LAMP) di Gebeng, Pahang bagi memastikan Malaysia tidak menjadi tempat pembuangan bahan tercemar oleh syarikat dari negara lain. Menurut Yeo, jawatankuasa itu dianggotai oleh mereka yang tidak menyatakan pendirian secara terbuka, sama ada untuk menyokong atau membantah operasi Lynas sebelum ini, dan mereka diberi tempoh enam minggu untuk menjalankan penilaian, dan memberikan satu laporan beserta syor kepada kerajaan. -- BERNAMA