suria

Kes liwat: Tidak perlu lagi saya jelaskan, kata Anwar

KUALA SELANGOR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak perlu memberi penjelasan berhubung kes liwatnya sebelum ini, sebaliknya meminta mana-mana pihak yang masih ‘ingin tahu' supaya merujuk kepada banyak sumber yang telahpun menerbitkan fakta berkenaan kes itu.

Ketua Umum PKR itu berkata rakyat khususnya penuntut institusi pengajian tinggi perlu bersikap terbuka dengan tidak hanya terikat kepada satu-satu sumber untuk mencari maklumat seperti suratkhabar atau televisyen.

“PenjelasQan berkenaan kes ini dah diulang banyak kali dalam Facebook, dah sejuta hits dalam youtube. Semua report pembelaan (berkenaan kes liwat) juga ada telah dibuat buku antaranya oleh peguam Australia Mark Trowell…, jawapan diberi dengan sangat terperinci, jadi saya nak nasihatkan bacalah.

“Saya juga ulangi, sewaktu saya dibebaskan sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong juga beritahu bahawa baginda yakin saya tidak bersalah, ada miscarriage of justice (salah laksana keadilan). Baginda tahu perkara ini tidak betul dan meminta supaya bila saya berkuasa janganlah izinkan perkara zalim dilakukan ke atas sesiapa.

“Apakah kita nak jadi mangsa fitnah orang atau kita nak cari kebenaran dengan mendengar dan membaca semua maklumat,” katanya pada program ‘Meet Anwar Ibrahim' anjuran bersama Universiti Selangor (Unisel) dan Anwar Ibrahim Club di kampus universiti itu di Bestari Jaya di sini, Rabu.

Anggota Parlimen Port Dickson itu berkata demikian ketika menjawab pertanyaan seorang penuntut Unisel yang ingin tahu sama ada beliau bersalah atas tuduhan liwat tersebut atau difitnah.

Anwar dihukum penjara lima tahun pada Februari 2015 bagi sabitan meliwat.

Pada Mei selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14, beliau mendapat pengampunan penuh diraja dengan sabitannya dipadamkan daripada rekod.

Pada 2000, Anwar dihukum penjara sembilan tahun atas sabitan salah guna kuasa dan salah laku seksual.

Mengenai dakwaan berlakunya amalan politik wang ketika pemilihan PKR, Anwar tidak menafikan perkara itu wujud namun pihaknya perlu mencari bukti mencukupi sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

Calon timbalan presiden PKR Rafizi Ramli sebelum ini mendakwa politik wang berlaku di enam negeri yang sudah mengadakan pemilihan PKR.-- Bernama.

Anwar Ibrahim, Unisel

Artikel Berikut

Artikel Lain

Tragis! Ibu maut disengat tebuan