suria

Penahanan bekas pemimpin tidak bermotif politik, ikut undang-undang: Tun M

LANGKAWI: Penahanan beberapa bekas pemimpin yang kini menghadapi beberapa pertuduhan salah guna kuasa dan rasuah tidak bermotifkan politik sebaliknya ia tertakluk kepada undang-undang negara, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata undang-undang akan menentukan mereka yang menghadapi pertuduhan itu sama ada bersalah atau sebaliknya.

"Undang-undang tidak mengira sesiapa dan di Malaysia, raja pun tertakluk kepada undang-undang. Pemimpin atau bukan pemimpin tertakluk kepada undang-undang ini.

"Kita ada cara, bukan tangkap dan (terus) tahan dalam penjara. Ini bukan cara kita, sebaliknya mereka ada pendakwaan, mereka boleh sediakan peguam dan macam-macam cara boleh dibuat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pertemuan Warga Peladang di Bangunan Pertubuhan Peladang Kawasan Langkawi di sini, Sabtu.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas isu beberapa pemimpin Umno yang ditahan dan dihadapkan di mahkamah atas pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa dengan yang terbaru membabitkan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata sebelum kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan, terdapat beberapa salah laku pemimpin terdahulu termasuk menekan pihak tertentu untuk membayar cukai yang tinggi.

"Ini cara luar daripada undang-undang. Undang-undang negara tidak boleh menggunakan Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk kenakan cukai lebih tinggi," katanya.

Katanya berbeza dengan kerajaan kini yang tidak menekan sesiapa sebaliknya membenarkan undang-undang berjalan mengikut proses yang dibenarkan. - BERNAMA

Ahmad Zahid, Tun Mahathir

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain