suria

Berhenti sekolah selepas kena histeria, budak 12 tahun belajar sendiri, cipta aplikasi permainan komputer

PETALING JAYA: Seorang budak lelaki berusia 12 tahun tular di media sosial kerana kebolehannya menghasilkan pengekodan permainan komputer berbekalkan ilmu yang dipelajari sendiri melalui internet.

Bakat Muhammad Thaqif Syahiran Jamzuri yang berasal dari Jengka 15, Pahang itu mendapat perhatian selepas memuat naik posting tentang kehilangan aplikasi dan data permainan komputer yang dihasilkannya, kerana dipadam oleh pemilik pusat siber.

Rata-rata pelayar media sosial berasa kagum dan bangga dengan semangat yang dimiliki oleh Muhammad Thaqif Syahiran biarpun dia terpaksa berhenti sekolah.

Ibunya, Rafiah Adam, 44, berkata, anak sulungnya itu berhenti sekolah pada awal Mac lalu kerana diserang histeria dan gangguan lain, namun ia tidak melunturkan semangatnya untuk meneruskan minat dalam bidang pengekodan.

Posting Muhammad Thaqif Syahiran yang tular selepas di muat naik semula oleh seorang pelayar Twitter.

"Saya selalu pantau dan teman dia pergi Pusat Internet 1Malaysia untuk menyiapkan 'game' dia tu.

"Di situ lebih mudah untuk dia dapatkan kemudahan internet dan belajar cara-cara nak buat 'coding' melalui video di YouTube," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Ahad.

Kata suri rumah tersebut, dia telah membawa anaknya mendapatkan rawatan di hospital, namun doktor tidak dapat menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku ke atas Muhammad Thaqif Syahiran.

"Anak saya mudah mengalami tekanan dan tak boleh kalau orang bercakap kasar dengan dia.

"Kami sekeluarga nak tengok kesihatan dia kembali macam dulu dan boleh kembali bersekolah seperti biasa," katanya.

Muhammad Thaqif Syahiran (empat dari kanan) menerima sumbangan komputer yang disampaikan kepadanya pada Sabtu.

Sementara itu, Muhammad Thaqif Syahiran memberitahu, dia berasa terkejut dan terharu apabila ada pihak yang sudi menyumbangkan sebuah komputer terpakai kepadanya bagi menyiapkan aplikasi permainan komputer berkenaan.

"Semalam (Sabtu), seorang ustaz dan beberapa orang kawannya datang dari Kuala Krau dan hantar komputer kepada saya lepas ramai yang kongsi mengenai cerita saya di Facebook.

"Dia ucap tahniah dan pesan supaya saya belajar sungguh-sungguh serta jangan putus asa," katanya yang bercita-cita untuk bergelar saintis komputer suatu hari nanti.

Tambah Muhammad Thaqif Syahiran, minatnya dalam bidang pengekodan bermula sejak dua tahun lalu selepas menonton cara-cara menghasilkan permainan komputer di YouTube.

Muhammad Thaqif

Artikel Lain