KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengasuh menarik nafas lega apabila Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin mengetepikan hukuman penjara enam bulan yang dijatuhkan terhadapnya atas kesalahan melakukan kecuaian ke atas seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan sehingga menyebabkan badan dan muka mangsa melecur terkena sup panas. Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Siti Aishah Abu Bakar, 31, yang diwakili peguam Mohd Firdaus Mahmood, untuk mengetepikan hukuman penjara yang dijatuhkan Hakim Mahkamah Sesyen Dr Gan Chee Keong pada 15 Jan 2018. "Setelah meneliti fakta kes, mendengar hujahan dan pengakuan bersalah tertuduh, mahkamah mendapati hukuman penjara tidak bersesuaian kerana tertuduh hanya meletakkan sup panas di atas meja di mana ia telah tercapai oleh mangsa sebelum badan mangsa melecur. "Maka, mahkamah membuat keputusan untuk mengetepikan hukuman penjara manakala hukuman denda RM10,000, bon berkelakuan baik selama setahun serta khidmat masyarakat 200 jam yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen sebelum ini dikekalkan," kata hakim itu. Terdahulu, Mohd Firdaus merayu supaya hukuman penjara yang dijatuhkan terhadap anak guamnya diketepikan kerana kejadian yang ditimpa ke atas bayi malang itu adalah kemalangan domestik. "Ibu bapa bayi berkenaan tidak membuat sebarang laporan polis terhadap tertuduh malah bayi itu terus dijaga oleh tertuduh selepas insiden itu... laporan polis dibuat oleh anak guam saya sendiri selepas bayi berkenaan dirujuk ke hospital," katanya. Timbalan Pendakwa Raya Nur Hafizah Rajuni memohon agar rayuan tertuduh ditolak dan mengekalkan hukumannya dengan alasan hukuman yang dikenakan terhadapnya adalah rendah kerana berdasarkan sekyen yang dihadapinya memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun. Pada 15 Jan lepas, Siti Aishah mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan kecuaian ke atas bayi lelaki berusia sembilan bulan sehingga menyebabkan kecederaan iaitu melecur sebanyak 19 peratus di badan dan muka di rumahnya di Bandar Sri Permaisuri, Cheras di sini pukul 12.30 tengah hari pada 9 Dis 2017. Dia didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau hukuman penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya. Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan, denda RM10,000 dan dipenjara tiga tahun jika gagal membayar denda berkenaan. Dia membayar denda. Selain itu, ibu seorang anak itu dikenakan bon berkelakuan baik selama setahun dan diperintahkan menjalani khidmat masyarakat selama 200 jam. - Bernama