suria

Hasanah turut didakwa Khamis ini

PUTRAJAYA: Bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid dijangka turut diheret ke mahkamah pada Khamis ini.

Menurut sumber, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan menahan beliau sebaliknya diberikan notis untuk hadir ke mahkamah.

Selain Hasanah, SPRM akan turut mendakwa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Setiausaha Perbendaharaan yang juga Pengerusi 1MDB, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah.

Pada 29 Ogos lalu, Hasanah direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana PRU 14.

Hasanah sebelum ini terpalit kontroversi apabila dikatakan menulis surat kepada Agensi Penyiasatan Pusat (CIA) yang meminta sokongan Amerika Syarikat (AS) terhadap BN.

Dalam surat yang didakwa bertarikh 4 Mei tahun ini dan dialamatkan kepada Pengarah CIA, Gina Haspel, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak digambarkan sebagai rakan kepada AS.

Dalam surat itu juga, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad disifatkan sebagai 'anti-Barat dan anti-Yahudi'.

Hasanah membuat laporan polis terhadap dakwaan tersebut. - Sinar Harian

Hasanah Abdul Hamid, CIA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain