suria

Tun M sekali lagi tersasul sebut Umno

PETALING JAYA: Sebelum ini, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad pernah beberapa kali tersasul menyebut Umno dalam majlis anjuran Bersatu mahupun Pakatan Harapan (PH).

Pada Jumaat, sekali lagi pemimpin berusia 93 tahun itu tersasul di hadapan media ketika mengumumkan tarikh Persidangan Tahunan Kedua Bersatu yang bakal berlangsung hujung tahun ini.

“Yang pertama saya nak umumkan adalah kita menetapkan persidangan Umno tahunan kedua…” katanya sebelum dibetulkan pemimpin parti.

“Bersatu, Bersatu,” kata beberapa pemimpin parti yang berada berhampirannya.

Pemimpin dan media yang berada di situ turut ketawa melihat keletah Ahli Parlimen Langkawi itu yang sekali lagi tersasul menyebut Umno.

Beliau kemudian hanya ketawa kecil dan ‘reaksi comel’ itu mencuit hati media dan pemimpin parti yang sekali lagi tertawa melihat tingkah lakunya.

Julai tahun lepas, Dr Mahathir pernah tersasul mengumumkan Presiden Amanah, Mohamad Sabu sebagai Presiden Umno.

Insiden tidak disengajakan itu berlaku dalam sidang media ketika beliau mengumumkan barisan kepimpinan baharu PH di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor. - Sinar Harian

Dr Mahathir Mohamad, Umno

Artikel Lain