GEORGE TOWN: Hujan yang berterusan selama 90 minit mengakibatkan banjir kilat di ruang menunggu untuk pelepasan bagi pesawat turboprop di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP). Seramai 28 penumpang terpaksa berjalan dengan air sehingga paras buku lali sebelum menaiki pesawat untuk penerbangan ke Lapangan Terbang Subang. Sebahagian mereka terpaksa menanggalkan kasut dalam insiden pada pukul 9.30 pagi Ahad. Pengurus kanan operator lapangan terbang Malaysia Airports Sdn Bhd (MASB), Mohd Nadzim Hashim berkata, keadaan air semakin surut dalam masa 15 minit. "Banjir disebabkan oleh hujan lebat yang luar biasa, dengan hujan dicatatkan pada 48mm dalam masa 90 minit. "Kami tidak dapat meletakkan semula pesawat ke tempat yang lain kerana ia sedang menunggu masa untuk berlepas," katanya ketika dihubungi. Selepas penumpang menaiki pesawat, Mohd Nadzim berkata, ruangan tersebut ditutup selama sejam untuk tujuan pembersihan. Beliau berkata, semasa hujan lebat, semua tangki takungan air (OSD) di LTAPP berfungsi dengan baik. Ia bukan kali pertama LTAPP mengalami banjir. Insiden sebelumnya termasuk pada November 2013 dan Julai 2016. - The Star